Pekerja Kenanga Wholesale City beratur untuk menyukat suhu badan sebelum masuk ke dalam premis sebagai syarat dan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan ketika tinjauan pada 5 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada had masa pergerakan antara daerah

SHAH ALAM, 5 MEI: Tiada larangan atau had masa tertentu untuk kenderaan persendirian bergerak antara daerah, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana semua peraturan yang ditetapkan sebelum ini dilepaskan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai semalam.

“Bagaimanapun pergerakan antara negeri masih tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata polis sedang meneliti kemungkinan membenarkan orang ramai yang terkandas di kampung untuk kembali menggunakan kenderaan awam.

Sementara itu, beliau mewakili kerajaan berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada orang ramai atas kawalan kendiri dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pada hari pertama PKPB semalam.

Katanya, kawalan kendiri serta kepatuhan pemilik premis terhadap SOP menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa hari pertama PKPB akan menjadi kelam kabut.

“Malah, jangkaan premis perniagaan akan sesak dan tiada pematuhan SOP seperti penjarakan sosial jelas meleset. Hasil laporan pemantauan mendapati premis perniagaan mengamalkan SOP ditetapkan.

“Tinjauan dalam pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) pula mendapati pengguna mengamalkan penjarakan sosial selain memakai pelitup muka,” katanya.


Pengarang :