AGENSISELANGOR

Tiada majlis kahwin di kuil Seri Kembangan – Polis

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Polis menafikan dakwaan kononnya satu majlis perkahwinan diadakan di sebuah kuil di Seri Kembangan, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Polis Ismadi Borhan berkata soal siasat terhadap penjaga kuil, tiada aktiviti atau majlis diadakan di kuil itu dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Beliau (penjaga kuil) turut menyatakan bahawa majlis (perkahwinan) dalam rakaman video yang tular tidak berlangsung semalam.

“Tinjauan dan siasatan anggota polis dari Balai Polis Seri Kembangan juga mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan di kuil tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu merujuk rakaman video satu minit yang memaparkan beberapa individu berkumpul dan mengadakan majlis perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan.

Ismadi bagaimanapun berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan polis sentiasa memantau aktiviti di rumah ibadat bagi mencegah penularan Covid-19.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan sebuah kuil di Seri Kembangan dipercayai mengadakan majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 100 individu.

– BERNAMA


Pengarang :