AGENDANASIONAL

Tiada sidang penuh Parlimen bukan halangan kembali mandat rakyat

SHAH ALAM, 14 MEI: Pakatan Harapan, Bersatu dan Warisan akan terus berusaha mengembalikan mandat rakyat meskipun tiada sidang penuh Dewan Rakyat kali ini.

Dalam kenyataan bersama, pemimpin pembangkang kesal Parlimen bersidang hanya untuk mendengar titah diraja atas alasan penularan Covid-19 belum reda.

“Arahan ini amat dikesali dan cukup mendukacitakan kerana Parlimen seharusnya berfungsi sebagai wahana bagi suara rakyat dan tiang seri demokrasi.

“Kali pertama dalam sejarah lebih enam dekad Parlimen Malaysia berjalan tanpa sidang penuh. Tindakan ini semestinya dilihat oleh rakyat sebagai keengganan perdana menteri berhadapan ahli parlimen pembangkang,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Dalam kenyataan sama, mereka turut terkejut dengan penukaran Setiausaha Dewan Rakyat berkuat kuasa 13 Mei, lima hari sebelum Parlimen bersidang Isnin depan.

“Tindakan ini amat membimbangkan kerana menimbulkan persepsi wujud pengaruh tidak wajar oleh pihak tertentu terhadap institusi Parlimen,” kata mereka.

Khidmat Riduan Rahmat sebagai Setiausaha Dewan Rakyat ditamatkan selepas dua bulan dilantik dan dipindahkan semula ke jawatan lamanya iaitu Setiausaha Dewan Negara.

Istiadat pembukaan persidangan Parlimen pada 18 Mei ini bakal disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Pengarang :