AGENSISELANGOR

Tidak daftar e-bil Air Selangor, terima bil dua bulan sekali

SHAH ALAM, 4 MEI: Pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang tidak mendaftar e-bil akan menerima bil air bulanan setiap dua bulan sekali melalui pos, kata ketua komunikasi korporatnya.

Elina Baseri berkata mereka akan menerima bil bulan semasa disatukan dengan jumlah bil bulanan sebelumnya pada bulan kedua menerusi satu bil manakala tempoh pembayaran adalah 30 hari daripada tarikh bil bulan berkenaan.

“Praktis ini hanya untuk pelanggan domestik sahaja. Bagi pelanggan selain domestik dan mereka yang berdaftar e-bil, akan menerima bil setiap bulan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata kaedah itu dilaksanakan bagi mengurangkan penggunaan kertas selaras dengan sokongan Air Selangor ke arah menghijaukan bumi.

Beliau berkata pihaknya menyarankan pelanggan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masih belum memilih menerima e-bil Air Selangor agar berdaftar segera di https://update.airselangor.com dan memilih untuk terima melalui e-mel atau WhatsApp.

“Pelanggan yang ingin mendapat bil air melalui perkhidmatan WhatsApp perlu memastikan nombor telefon didaftarkan adalah betul dan boleh menerima mesej,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut dan bantuan mengenai bekalan air, pelanggan boleh menghubungi di talian 15300, WhatsApp ke 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram) serta laman sesawang Air Selangor www.airselangor.com

Pelanggan juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di telefon pintar menerusi App Store atau Google Play untuk maklumat semasa bekalan air atau semakan bil.


Pengarang :