AGENDA NASIONAL

Tidak perlu ke balai polis, Gerak Malaysia sedia tarikh rentas negeri

SHAH ALAM, 6 MEI: Orang ramai kini tidak perlu lagi ke balai polis untuk tahu jadual pergerakan jika telah mendaftar menerusi aplikasi Gerak Malaysia.

Jabatan Perdana Menteri menerusi Twitter memaklumkan jadual pergerakan rentas negeri yang diluluskan polis boleh dirujuk di aplikasi tersebut.

“Sila rujuk jadual perjalanan rentas negeri yang diluluskan oleh polis bagi melancarkan perjalanan anda ke destinasi.

“Anda tidak perlu ke balai polis sekiranya telah mendaftar melalui aplikasi Gerak Malaysia, sebaliknya boleh mula bergerak mengikut tarikh yang telah dinyatakan,” tulisnya di Twitter.

Berikut adalah jadual pergerakan merentas negeri:

7 Mei 2020 – Kuala Lumpur
8 Mei 2020 – Perak, Johor, Kelantan
9 Mei 2020 – Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang
10 Mei 2020 – Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara di Twitter turut mengingatkan orang ramai mematuhi beberapa perkara sepanjang perjalanan antaranya:

– Tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat
– Surau akan ditutup dan sebarang aktiviti solat jemaah tidak dibenarkan
– Hanya tandas awam sahaja dibenarkan beroperasi
– Kawasan tempat letak kereta hanya untuk tujuan rehat dan pengguna tidak dibenarkan keluar dari kereta kecuali ke tandas
– Stesen minyak hanya beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam sepanjang lebuh raya
– Pengguna adalah dilarang sama sekali untuk melakukan aktiviti berkumpulan ketika dalam perjalanan


Pengarang :