Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 25 MEI 2020.Turut sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon (dua, kiri) dan Ketua Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Norhayati Rusli (kiri). FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga Depoh Tahanan Imigresen rekod 227 kes positif Covid-19

SHAH ALAM, 25 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia mengenal pasti satu kluster baharu di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Sepang apabila 36 kes positif Covid-19 dilaporkan di sana, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, didapati 227 kes positif daripada ketiga-tiga kluster DTI termasuk di Bukit Jalil dan Semenyih yang melibatkan bukan warganegara Malaysia.

“Sehingga 25 Mei 2020 jam 12 tengah hari, sebanyak 1,449 sampel diambil dengan 36 kes positif Covid-19 dikesan dengan 29 kes dilaporkan hari ini manakala 540 kes negatif dan 873 sampel masih menunggu keputusan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata sebanyak 1,536 sampel diambil yang terdiri daripada 1,422 Orang Kena Tahan (OKT) dan 114 kakitangan di DTI Bukit Jalil.

Daripada jumlah tersebut, 126 kes adalah positif, 514 kes adalah negatif dan 896 sampel masih menunggu keputusan.

Bagi kluster DTI Semenyih, sebanyak 1,757 sampel diambil yang terdiri daripada 1,630 OKT dan 127 kakitangan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 66 kes adalah positif, 753 kes negatif dan 938 sampel masih menunggu keputusan.

“KKM akan terus bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia, polis dan lain-lain agensi Kerajaan bagi pengurusan kes Covid-19 yang melibatkan Depoh Tahanan Imigresen,” katanya.


Pengarang :