Penumpang pesawat penerbangan memakai topeng penutup mulut dan hidung pada tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDAEKONOMI

Trafik penumpang Malaysia Airports jatuh 98.8 peratus

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Trafik penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) secara menyeluruh merekodkan kejatuhan sebanyak 98.8 peratus dari tahun ke tahun pada bulan lepas kepada hanya 137,000 individu berikutan penguatkuasaan Perintah Sekatan Pergerakan (PKP).

Sektor antarabangsa mencatatkan penurunan 99.3 peratus dengan trafik penumpang sebanyak 39,000 pada April manakala pergerakan penumpang domestik merosot 98.4 peratus kepada hanya 97,000 orang.

MAHB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata prestasi trafik pada April di lapangan terbang domestik dan antarabangsa seperti Sabiha Gokcen International Airport (SGIA) di Istanbul terjejas akibat PKP, manakala operasi SGIA digantung berikutan keputusan kerajaan Turki untuk menutup sempadan.

“Penguatkuasaan PKP di Malaysia menghadkan operasi lapangan terbang dan syarikat penerbangan hanya untuk penghantaran balik serta penerbangan kargo.

“Syarikat penerbangan tempatan memulakan kembali penerbangan ke laluan domestik utama dengan frekuensi minimum sejak 29 April lepas melalui kerjasama antara syarikat-syarikat penerbangan dan lapangan terbang bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dengan langkah yang ketat untuk memastikan perjalanan yang lancar serta selamat,” katanya.

Menurut operator lapangan terbang itu, pada asas 12 bulan yang lalu, sistem MAHB secara menyeluruh mencatatkan 121.6 juta trafik penumpang, penurunan 10 peratus berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

Pergerakan pesawat secara keseluruhan menguncup sebanyak 91.6 peratus dengan trafik pesawat antarabangsa dan domestik, masing-masing mencatatkan pengurangan 92.9 peratus dan 90.7 peratus, berbanding April 2019.

MAHB berkata PKP, pada mulanya dikenakan selama dua minggu mulai 18 Mac dengan beberapa siri lanjutan, kini dijangka berakhir pada 9 Jun.

Pada peringkat awal, penerbangan hanya terhad kepada operasi penghantaran balik membabitkan laluan antarabangsa serta usaha membawa pulang rakyat Malaysia dari luar negara ke dalam sektor domestik.

“Bagaimanapun, syarikat penerbangan tempatan telah memulakan penerbangan ke laluan domestik utama dengan frekuensi minimum sejak 29 April lepas dan bersedia untuk meningkatkan lebih banyak penerbangan jika kerajaan memberi kelulusan yang lebih banyak ke atas pergerakan sempadan antara negeri tetapi dengan garis panduan perjalanan yang ketat.

“Pengumuman terbaru PKP Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei yang membenarkan sebahagian besar perniagaan beroperasi semula dengan prosedur operasi standard yang ketat telah membolehkan kedai bebas cukai di lapangan terbang kami dibuka kembali,” katanya.

Melangkah ke hadapan, MAHB berkata pengutamaan dalam langkah keselamatan dan cara inovatif bagi menghidupkan keyakinan pelancong melalui pendekatan teknologi akan memainkan peranan yang lebih besar.

“Norma baharu perjalanan, bakal menyaksikan banyak proses tambahan seperti penguatkuasaan pemakaian topeng muka dan perjarakan sosial, antara lain, untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat, tidak dapat dielakkan buat masa ini.

“PKP membuka peluang kepada Malaysia Airports memulakan peningkatan sistem pengendalian rangkaian terasnya sebagai sebahagian daripada program transformasi digital, yang juga menyokong penambahan infrastruktur serta pembangunan kapasiti yang lain bagi menyediakan proses automasi lebih baik, perkhidmatan layan diri tanpa sentuhan, teknologi robotik dan biometrik,” tambahnya lagi.

-BERNAMA


Pengarang :