Presiden AS, Donald J. Trump menghubungi Tan Sri Muhyiddin Yassin antara lain untuk berbincang mengenai Covid-19 pada 8 Mei 2020. Foto Twitter Tan Sri Muhyiddin Yassin
AGENDANASIONAL

Trump hubungi Muhyiddin bincang isu Covid-19

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Isu pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini, menjadi antara topik yang dibincangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump malam ini.

Muhyiddin yang menerima panggilan telefon daripada Trump berkata selain menerima ucapan tahniah bagi kerajaan yang baharu, beliau menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama komprehensif antara Malaysia dan AS.

“Pada perbualan yang berlangsung 30 minit itu, saya dan Presiden Trump berbincang mengenai pandemik Covid-19 serta pendekatan-pendekatan yang telah diambil kedua-dua negara.

“Kami turut menekankan pentingnya kerjasama komuniti antarabangsa bagi mengurangkan kesan pandemik ke atas kesejahteraan hidup masyarakat dunia dan ekonomi global,” kata Muhyiddin menerusi catatan di laman sosial Facebooknya.

Selain itu, Muhyiddin dan Trump turut membincangkan usaha-usaha termasuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin dan ubat-ubatan serta akses sama rata kepada vaksin Covid-19 kelak.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata kedua-dua negara juga menzahirkan kesepakatan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan peralatan kritikal dan bekalan lain, terutamanya semasa krisis kesihatan global.

“Selain itu, kami turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama dalam konteks mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 29 Februari lepas.

– BERNAMA


Pengarang :