BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ucapan raya EXCO: Raikan Aidilfitri, terus patuhi SOP

SHAH ALAM, 24 Mei: Barisan EXCO Selangor mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada seluruh umat Islam di negeri ini. Berikut ucapan mereka:

Saya mengucapkan Selamat Hari Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga Selangor beragama Islam.

Menjadi tanggungjawab kita dalam masa krisis untuk berdisplin dan mematuhi segala arahan kerajaan demi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan keluarga kita.

Salam Aidilfitri juga dan penghormatan tertinggi ingin disampaikan kepada pasukan rawatan dan perubatan negara. Mereka adalah wira benteng hadapan memerangi wabak Covid-19. Segala sumbangan pengorbanan mereka harus diingati setiap masa.

Dato’ Teng Chang Khim

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS)

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan kepada seluruh warga Selangor yang beragama Islam. Sebulan berpuasa berlapar dahaga, beramal ibadat siang dan malam tanda ketaatan kepada Allah agar membentuk diri menjadi manusia yang relevan kepada agama, bangsa dan negara.

Walaupun kita menghadapi dugaan yang lebih berat pada Ramadan dan Syawal kali ini kerana wabak Covid-19 tetapi saya yakin kita akan terus meraikan hari kemenangan dengan penuh kesabaran dan sederhana.

Moga kita semua akan terus meraikannya dengan meriah bersama saudara-mara, rakan dan taulan daripada pelbagai kaum dan agama sambil menjaga penjarakan fizikal.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir &  Batin.

Ir Izham Hashim

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

 

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga Selangor yang beragama Islam. Dalam kegembiraan menyambut hari bersejarah, penting bagi kita untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Sentiasa amalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan sentiasa basuh tangan dengan sabun atau cecair pembunuh kuman. Sambutlah Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Haniza Talha

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar

 

Sempena menyambut Syawal, saya sedar ramai rakyat Selangor berasa sedih apabila tahun ini kita terpaksa menghadapi hari raya di tengah-tengah pandemik Covid-19. Bagaimanapun, kita perlu sedar, kesihatan dan keselamatan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberi keutamaan.

Saya menyeru rakyat untuk terus patuhi arahan kerajaan yang melarang merentas negeri untuk pulang ke kampung dan disarankan untuk duduk di rumah dan jaga jarak kita. Bagi mematuhi arahan tersebut adalah digalakkan kita memanfaatkan media sosial dan telefon pintar untuk terus berhubung bagi mengeratkan silaturrahim dengan sanak-saudara di kampung.

Tidak lupa, saya  mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri serta memberi penghormatan buat pasukan barisan hadapan yang  bertungkus-lumus menjadi benteng dalam memerangai wabak ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin.

Ganabatirau Veraman

EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin

 

Alhamdulillah, Allah masih mengizinkan kita semua menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini. Mengambil kesempatan ini, saya memohon kemaafan, keterlanjuran kata dan perbuatan yang saya sedar dan tidak sedar.

Dalam kegembiraan ini, kita masih lagi berada di dalam ujian Covid-19, terpaksa berpisah jauh dengan keluarga dan ibu dan ayah. Raikanlah hari lebaran ini dengan penuh rasa syukur, sederhana dan insaf dengan ujian yang melanda kita.

Jika salam dan cium tidak dapat dihulur, titipkanlah doa manakala buat ibu bapa dan keluarga yang jauh hantarkan wang kiriman kepada mereka tanda kasih dan sayang kita.

Satu Syawal menjelang tiba, Takbir bergema menggetar jiwa; Sekiranya ada salah dan dosa, Ampun dipinta di hari mulia.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir  Batin

Dr Siti Mariah Mahmud

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga

 

Sambutan Aidilfitri bakal diraikan dalam suasana kebiasaan baharu atau Festive Celebration in the new normal.

Dalam kerinduan kita untuk menziarah ibu bapa, sanak-saudara dan sahabat-handai, jangan lupa bahawa kita masih berdepan dengan pandamik Covid-19 yang tidak boleh diambil ringan.

Jadikan lebaran kali ini disambut penuh kesyukuran dan masih dapat mengeratkan silaturrahim dengan menggunakan medium teknologi. Hubungilah ahli keluarga tersayang di kampung halaman.

Saya mengajak semua untuk “membiasakan yang betul, Betulkan yang biasa. Marilah kita terus bersepakat memerangi Covid-19 dengan sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan yang terbaik buat diri dan keluarga. Minal ’Aidil wal Faizzin. Maaf Zahir & Batin. Salam Aidilfitri 1441H

Rodziah Ismail

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi

 

Tahun ini Aidilfitri diraikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan  untuk mencegah wabak Covid-19.

Ini mungkin membawa sedikit kesukaran dan ketidakselesaan kepada kita terutamanya sewaktu ingin menziarahi ahli keluarga mahupun rakan, tetapi saya amat yakin kita dapat mengambil ini sebagai ikhtibar untuk lebih menghargai siraturrahim.

Saya berharap kita dapat sentiasa menyesuaikan diri untuk berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu dan dijangka lebih mencabar kelak. Maka saya berharap semua pihak dapat berbelanja dengan berhemah.

Aidilfitri tahun ini pasti menjadi memori dan semangat ini akan ditaksirkan dalam kehidupan harian pada masa akan datang. Maka ia menjadi hari raya yang paling bermakna buat kita semua.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.

Hee Loy Sian

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal
Ehwal Pengguna Selangor

 

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Semoga Syawal kita kali ini disambut dengan lebih bermakna bersama insan tersayang walaupun ketika ini kita sedang mengharungi norma baharu akibat pandemik Covid-19.

Sepanjang Syawal ini, pastikan kita sentiasa mematuhi saranan Kementerian Kesihatan terutamanya menjaga jarak sosial ketika berkunjung ke rumah jiran dan saudara. Semoga kita berjaya dan menang melawan Covid-19.

Mohd Khairuddin Othman

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang menyambutnya. Semoga semua diberkati dengan kesihatan.

Tahun ini cara sambutan mungkin sedikit berbeza namun ketibaan bulan Syawal tetap bermakna kepada semua.

Sempena hari raya ini, marilah kita sama-sama  menyampaikan ucapan salam Aidilfitri kepada ahli-ahli keluarga dan kawan-kawan melalui panggilan telefon atau WhatsApp.

Meskipun tidak dapat berjumpa kita tetap perlu menjaga silaturrahim antara kita. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.

Ng Sze Han

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru

 

 


Pengarang :