Selangorkini
Penduduk Mohd Fitri Mokhtar menyalakan satu daripada 200 pelita bagi menghasilkan frasa ‘Raya KL Je’ ketika tinjauan di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Sungai Besi pada 21 MEI 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Umat Islam diminta patuh had terima tetamu 20 orang esok

ccsb-ads

SHAH ALAM, 23 MEI: Perdana Menteri menasihatkan umat Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri esok agar berbincang terlebih dahulu dengan saudara-mara mereka sebelum membuat kunjungan ke mana-mana rumah dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata ini kerana had tetamu dibenarkan pada hari raya pertama esok hanya 20 orang bagi mengelak penularan Covid-19.

“Saya nasihatkan berbincang dengan ahli keluarga dan saudara-mara siapa yang boleh datang rumah. Ziarah keluarga terdekat juga dibenarkan hanya maksimum 20 tetamu sahaja satu hari.

“Bagaimanapun, saya harap anda semua dapat mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) KKM (Kementerian Kesihatan) iatu amalkan penjarakan sosial, elakkan bersalaman dan bersentuhan. Jaga emak, ayah dan nenek yang berusia, ini kerana mereka lebih mudah terdedah dengan Covid-19,” katanya dalam Perutusan Khas Aidilfitri Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen malam ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berharap umat Islam memahami peluang untuk ziarah-menziarahi terhad tetapi tidak bermakna kemeriahan Aidilfitri tidak dapat diwujudkan.

“Wujudkan suasana kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga kita. Begitu juga mereka yang ada di rumah kebajikan dan pusat penjagaan anak yatim. Saya yakin petugas dan sukarelawan akan berusaha wujudkan suasana kegembiraan itu.

“Saya doakan petugas barisan hadapan dan yang bertugas di perbatasan negara serta rakyat Malaysia di luar negara dapat sambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan serta dilindungi Allah,” kata beliau.


Pengarang :