AGENDANASIONAL

Untung selepas cukai susut 68 peratus, Petronas unjur 2020 mencabar

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berpandangan prospek amat mencabar bagi baki tempoh 2020, dengan aktiviti ekonomi mungkin hanya akan beransur pulih pada separuh kedua tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata peserta industri, termasuk syarikat minyak dan gas negara, akan terjejas sekiranya situasi pasaran semasa berterusan dan harga minyak mentah kekal rendah.

Hari ini, harga minyak Brent turun 4.66 peratus kepada AS$34.38 setong.

“Dalam keadaan mencabar ini, tumpuan kami adalah melindungi tunai dan mengekalkan mudah tunai kami, meneruskan langkah pengurangan kos dan respons kepada keadaan pasaran yang mencabar mengikut perkembangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Petronas akan terus mengutamakan kesihatan dan keselamatan warganya dan komuniti di lokasi yang menempatkan operasinya selain menyumbang kepada usaha untuk menangani pandemik ini.

Petronas hari ini mengumumkan keuntungan selepas cukai susut 68 peratus kepada RM4.5 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2020 daripada RM14.2 bilion pada tempoh yang sama 2019.

Ini terutama susulan susut nilai bersih ke atas aset dan perolehan yang dicatatkan lebih rendah, bagaimanpun prestasi itu sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah.

Perolehan susut empat peratus kepada RM59.6 bilion daripada RM62.0 bilion bagi tempoh yang sama berikutan terutamanya kesan daripada harga purata yang direalisasikan lebih rendah bagi gas asli cecair, produk petroleum serta minyak mentah dan peluwap.

Penurunan itu sebahagiannya diimbangi oleh impak jumlah jualan lebih tinggi khususnya bagi produk petroleum ditambah dengan kelemahan pertukaran asing bagi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

Wan Zulkiflee berkata bagi jangka panjang, Petronas tetap komited melaksanakan strategi pertumbuhan serampang tiga mata – memaksimumkan penjanaan tunai; memperluas perniagaan teras dan menggiatkan usaha mengekalkan organisasi dalam mengharungi perubahan; dan memastikan kemampanan jangka panjang syarikat.

– BERNAMA


Pengarang :