Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menerima 365 bungkus juadah berbuka puasa sumbangan Hotel De Palma Shah Alam untuk diagihkan kepada sembilan rumah anak yatim di Selangor pada 14 Mei 2020. Foto ihsan Yide
AGENSISELANGOR

Yide agih nasi briyani ayam kepada anak yatim

SHAH ALAM, 15 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menerima 365 bungkus juadah berbuka puasa sumbangan Hotel De Palma Shah Alam untuk diagihkan kepada sembilan rumah anak yatim bawah seliaannya kelmarin.

Pengurus Besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata set makanan yang disediakan hotel terbabit ialah nasi briyani ayam dan air mineral.

“Khidmat komuniti sosial pada Ramadan diteruskan dengan mengamalkan penjarakan sosial ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditetapkan Kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Nur Mohd Razali memberitahu, sumbangan ini terbuka kepada semua individu, agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat korporat bagi memastikan kebajikan anak yatim terpelihara.

Beliau berkata, Yide sendiri memperuntukkan RM742,000 sebagai sumbangan raya untuk anak yatim di negeri ini pada tahun ini yang sudah dikreditkan ke akaun penerima berdaftar.

Bagi mengimarahkan keberkatan Ramadan, Yide mempelawa orang ramai menyalurkan sumbangan ke nombor akaun Bank Islam (BIMB) Yayasan Islam Darul Ehsan (1223-40100-07330) atau layari www.yide.com.my untuk menyumbang melalui aplikasi Billplz.


Pengarang :