AGENSISELANGOR

Yide selesai agih lebih RM700,000 bantu 7,420 anak yatim

SHAH ALAM, 9 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) selesai memasukkan RM742,000 sumbangan Hari Raya Aildilfitri ke dalam akaun bank 7,420 anak yatim di negeri ini, kata pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali berkata pihaknya melengkapkan penyerahan wang saku ke dalam akaun penerima dengan jumlah RM100 setiap seorang.

Beliau berkata bagi yang tidak mempunyai akaun bank pihaknya turun padang untuk menyerahkan sendiri sumbangan itu.

“Terima kasih juga kepada orang ramai, syarikat korporat dan anak syarikat Kerajaan Negeri yang turut sama membantu memberikan sumbangan kepada golongan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Agihan pada tahun ini membabitkan sembilan daerah di Selangor iaitu Klang seramai 1,288 penerima, Petaling (1,267), Sabak Bernam (400), Kuala Selangor (763), Hulu Langat (1,179), Sepang (330), Gombak (1,121), Hulu Selangor (543) dan Kuala Langat (529).

Yide menyeru kepada orang ramai dan syarikat korporat memuliakan anak yatim dengan terus menyumbang melalui platform pembayaran dalam talian melalui Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/ atau juga melalui Jom Pay (Biller Code: 81059 dan aplikasi Snap and Pay).

Sumbangan orang ramai boleh terus ke akaun korporat Yide, Bank Islam 1223 4010 0073 30 dan hubungi talian utama Yide untuk mendapatkan resit pelepasan cukai di talian 017-756 9476 atau 017-757 9478.

Setiap sumbangan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi Yide.


Pengarang :