Petugas kesihatan dan kakitangan MPK bersedia membuat ujian saringan Covid-19 ke atas penghantar makanan di Klang pada 1 Mei 2020. Foto Facebook MPK
AGENDA NASIONAL

Zon merah Covid-19 tinggal empat kawasan

SHAH ALAM, 2 MEI: Sebanyak empat kawasan dikategorikan sebagai zon merah penularan Covid-19 direkodkan setakat petang ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kawasan berkenaan ialah Batu, Titiwangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur serta Kuching di Sarawak.

“Dua kawasan bandar iaitu Lembah Pantai dan Titiwangsa, manakala dua lagi di Kuching dan Batu yang membabitkan kawasan Selayang,” kata beliau pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Perkembangan terbaharu jumlah zon merah menunjukkan penurunan kepada empat daerah, berbanding lapan daerah semalam.

Dalam pada itu, ditanya kewajaran membuka taman rekreasi seperti Taman Tasik Titiwangsa untuk beriadah, Noor Hisham berkata perlu ada tatacara operasi piawai (SOP) ketika berada di taman-taman awam sama ada di zon merah atau hijau.

“Pastikan ada penjarakan sosial, kalau (beriadah) dalam kumpulan juga perlu ada penjarakan, jadi kita pastikan ada penguat kuasa di taman-taman terbabit supaya pemantauan dilaksanakan,” katanya.


Pengarang :