AGENDANASIONAL

14 inidividu ditahan disyaki ceroboh hutan simpan

IPOH, 21 JUN: Seramai 14 individu termasuk enam wanita ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Bujang Melaka di Kampar dengan melakukan aktiviti pendakian tanpa kebenaran Jumaat lepas.

Menurut Jabatan Perhutanan Perak, kumpulan itu yang disertai individu berumur 23 hingga 65 tahun ditahan pasukan penguat kuasa daripada Pejabat Hutan Kinta Manjung semasa kerja-kerja semakan dan pemantauan selepas menerima maklumat awam.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pendakian mereka bermula dari Tanah Milik Sahom Valley Resort di Kampar dan seterusnya ke Batu Dinding berhampiran puncak Gunung Bujang Melaka,” demikian menurut kenyataan jabatan itu di sini malam ini.

Menurut kenyataan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Dipang, Kampar dan kesemua 14 individu yang ditahan telah dilepaskan dengan jaminan polis.

Jabatan itu memaklumkan, kesemua yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan tanpa permit dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Jabatan Perhutanan Perak turut memberi peringatan kepada orang awam bahawa walaupun aktiviti pendakian dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun memasuki kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) perlu mempunyai kelulusan melalui Pejabat Hutan Daerah.

– BERNAMA


Pengarang :