Pengusaha Goldcut Barbershop di Balakong, Harriz Ahmad, 29 mengenakan apron dan pelindung muka ketika menggunting rambut pelanggan dalam tinjauan pada 11 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

14 premis dandanan terima notis, elak kaut untung melampau

SHAH ALAM, 11 JUN: Sebanyak 14 notis dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor hari ini kepada pengusaha premis dandanan dan gunting rambut di seluruh negeri.

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata tindakan terhadap 14 premis pada hari pertama Op Catut 7.0 bagi memastikan pengusaha tidak mengambil kesempatan menaikkan harga perkhidmatan.

“Daripada notis ini kita akan siasat sama ada mereka cuba mengaut keuntungan tidak munasabah mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.

“Jika bersalah, pengusaha akan dikenakan denda maksimum tidak lebih RM1 juta bagi suatu pertubuhan perbadanan manakala bukan pertubuhan pula tidak lebih RM250,000, penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.

Muhamad Zikril berkata pemeriksaan terhadap premis tersebut akan diteruskan untuk memastikan peniaga mengamalkan suasana beretika sekali gus melindungi hak pengguna.

Mengikut tatacara operasi piawai digariskan Majlis Keselamatan Negara, pengusaha premis diwajibkan memakai pelindung muka, sarung tangan dan apron.

Pelanggan turut diwajibkan memakai apron pakai buang, pelitup muka, merekodkan suhu badan dan butiran berkenaan.


Pengarang :