AGENDANASIONAL

22 kes kemalangan babit pemandu mabuk dari Jan hingga Mei

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Sejumlah 22 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dilapor dalam tempoh lima bulan tahun ini dan dalam tempoh itu juga seramai 822 orang ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias mereka yang ditahan dalam tempoh Januari hingga Mei lepas itu terdiri daripada mereka yang berusia antara 15 hingga 41 tahun.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis akan meningkatkan operasi (mengesan pemandu) mabuk di seluruh negara. Saya minta agensi-agensi penguat kuasa yang lain untuk mengambil tindakan keras dan kawal penjualan arak yang sangat mudah dibeli dan diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azisman berkata daripada 22 kes kemalangan yang dilapor itu, 12 kes masih dalam siasatan manakala 10 kes lagi telah dituduh di mahkamah.

-BERNAMA


Pengarang :