Penguat kuasa kastam Thailand menyemak dokumen orang ramai sebelum melalui sempadan masuk ke Malaysia di Narathiwat pada 1 April 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

28 hari tanpa jangkitan tempatan, Thailand rancang longgar sekatan

BANGKOK, 22 JUN: Thailand merancang untuk melonggarkan secara berperingkat-peringkat sekatan kemasukan warga asing ke negara ini akibat Covid-19 selepas 28 hari tanpa sebarang jangkitan tempatan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata para eksekutif perniagaan, profesional dan pekerja mahir, penduduk tetap dan warga asing yang keluarga mereka tinggal di Thailand dan pelancong perubatan adalah antara kumpulan pertama yang akan dibenarkan masuk ke Thailand.

“Mereka hendaklah menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti negeri,” katanya pada taklimat harian mengenai Covid-19 di sini hari ini.

Sehingga kini, terdapat 700 eksekutif perniagaan mendaftar untuk memasuki negara ini, pekerja mahir (22,000), penduduk tetap (2,000) dan pelancong perubatan (30,000).

Sementara itu, Thaweesilp berkata, ahli perniagaan jangka pendek (menghadiri mesyuarat dan menandatangi kontrak perniagaan atau perjanjian ekonomi), tetamu kerajaan (bagi menghadiri majlis atau seminar khusus) dan pelancong di bawah perancangan ‘travel bubbles’ antara mereka yang akan dibenar memasuki negara ini tanpa melalui kuarantin 14 hari.

“Pelancong dari China, Jepun, Korea Selatan mungkin antara kumpulan pertama akan memasuki negara ini,” katanya.

Thaweesilp berkata, CCSA akan mengkaji cadangan itu dengan teliti kerana kesihatan dan keselamatan orang ramai menjadi keutamaan kerajaan.

Cadangan itu akan dibincangkan semasa mesyuarat CCSA Jumaat ini.

Sementara itu, Thailand melaporkan tiga kes baharu Covid-19 dan sifar kematian sejak 24 jam yang lepas.

Tiga kes baharu itu – semuanya rakyat Thai berumur antara 11-34 tahun, yang baru pulang dari India pada 15 Jun dan sedang menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti negeri.

Thailand mencatatkan 3,151 Covid-19 kes dengan 58 kematian, dengan 3,022 pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang dari hospital.

Beliau berkata, sejak 3 April, 214 rakyat Thai yang pulang dari luar negara disahkan positif Covid-19 dan daripada jumlah itu 143 kes pulih dan dibenar pulang ke rumah masing-masing.

– BERNAMA


Pengarang :