Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peneroka asal tapak Kampung Seri Temenggong ketika Majlis Penyerahan Surat Tawaran Unit Pangsapuri Selangorku Seri Temenggung di tapak projek rumah pangsapuri Seri Temenggung, Batu Caves pada 27 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

29 peneroka Kampung Seri Temenggong dapat unit Rumah Selangorku

BATU CAVES, 27 JUN: Seramai 29 peneroka asal Kampung Seri Temenggong di sini bakal memiliki kediaman mampu milik selewat-lewatnya awal tahun hadapan di bawah projek Rumah Selangorku, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek dimajukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Melati Ehsan Holdings Berhad selaku kontraktor kini mencapai tahap kemajuan 90 peratus selepas dimulakan pada Mei 2018.

“Cita-cita kita sejak 2008 untuk pastikan tanah kerajaan boleh dijelaskan, tetapi ada sedikit masalah sebab sudah jadi (tanah) hak milik maka kita ubah format dengan bina rumah.

Peneroka asal tapak Kampung Seri Temenggung melihat melihat model Unit Pangsapuri Selangorku Seri Temenggong di tapak projek rumah pangsapuri Seri Temenggung, Batu Caves pada 27 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Selepas ini, mereka boleh tinggal dalam suasana berbeza dengan pemilikan tanah yang sah selain dilengkapi kemudahan dan paling penting tiada perseturuan dengan mana-mana pihak sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

“Saya gembira dengan perancangan dibuat PKNS dan kontraktor terpilih yang secara tidak langsung memberi peluang kepada semua pihak untuk merasai nikmat pembangunan,” katanya selepas penyerahan surat tawaran Pangsapuri Selangorku Seri Temenggong di tapak projek berkenaan hari ini.

Beliau berkata semua peneroka bandar ditawarkan harga RM65,000 untuk memiliki kediaman tersebut iaitu enam kali ganda lebih murah berbanding nilai asal mencecah RM200,000 seunit.

Malah, katanya keluasan rumah juga ditambah kepada 900 kaki per segi dengan kemudahan dua tempat letak kereta setiap seorang.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan surat tawaran kepada peneroka asal tapak Kampung Seri Temenggung di tapak projek rumah pangsapuri Seri Temenggong, Batu Caves pada 27 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini antara ciri-ciri yang kita mahukan bagi memastikan tiada sesiapa pun tertinggal di belakang sebaliknya mendapat hak milik seadilnya dan tidak menganiaya premium tanah yang sudah dibayar pembeli,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut mengingatkan bakal pemilik supaya melupakan hasrat untuk menjual rumah yang sudah dibeli mereka.

“Jangan ada angan-angan jual rumah kerana ia aset dan bernilai untuk masa hadapan apatah lagi harga tanah berada dalam keadaan kurang selesa berikutan Covid-19,” katanya.


Pengarang :