Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat yang hadir membuat saringan Covid-19 pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan secara pentadbiran di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

300 penduduk dua taman di Kuala Langat tunggu keputusan saringan Covid-19

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 300 penduduk Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19, kata Pegawai Daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata setakat jam 12 tengah hari ini bilangan positif wabak dalam kalangan penduduk kawasan tersebut adalah sembilan kes.

“Nasihat saya kepada penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran supaya kekal di rumah melainkan atas urusan benar-benar penting sahaja.

“Amalkan penjarakan sosial, sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di kawasan awam dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan arahan pihak berkuasa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

PKP secara pentadbiran dikuat kuasakan di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama pada 2 Jun apabila 24 pekerja pembersihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di taman berkenaan positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring dan ia membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni menjadi lokasi PKP secara pentadbiran terbesar di Malaysia meliputi kawasan seluas 42.8 hektar yang menempatkan 1,752 rumah selain dipasang kawat duri terpanjang iaitu 4.1 kilometer.


Pengarang :