EXCO Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

300 penunggang motosikal daftar Seldec Rider

BANGI, 9 JUN: Hampir 300 penunggang motosikal mendaftar sebagai penghantar barangan secara sambilan dengan Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) Rider, kata EXCO usahawan.

Rodziah Ismail berkata sambutan menggalakkan itu membantu usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan ekonomi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang menyertai Seldec sebelum ini.

“Seldec Rider akan menghantar barang jualan peniaga seperti barang segar dan basah sekitar Selangor dengan lebih cepat.

“Contohnya pelanggan dari Beranang, Hulu Langat yang mahu mendapatkan ikan segar dari Sabak Bernam, Seldec Rider akan hantar pesanan sehingga ke pintu rumah tanpa kita perlu bersusah payah ke lokasi untuk menikmatinya,” katanya kepada SelangorKini selepas Majlis Penyampaian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri di Pejabat Daerah Hulu Langat, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Hulu Langat, Yusri Zakariah dan Ketua Pegawai Bisnes Amal Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Mohd Jaafarudin Md Ali Al-Hafiz.

Rodziah berkata golongan belia digalakkan mendaftar sebagai Seldec Rider bagi menambah pendapatan sampingan ketika musim Covid-19.

“Sekarang adalah waktu terbaik untuk anak muda di Selangor menambah pendapatan mereka menerusi program sebegini, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri turut membantu mereka menerusi Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) untuk mengambil kursus dan mendapat lesen motosikal.

“Selepas dapat lesen boleh sertai Seldec, usaha ini dilihat menyeluruh kerana bukan sahaja usahawan kecil tetapi pada masa sama, penunggang motosikal juga memperoleh manfaat,” katanya.

Pada 3 Oktober tahun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Seldec bagi membantu meningkatkan pendapatan usahawan IKS serta pengusaha luar bandar di negeri ini.


Pengarang :