Ng Sze Han melawat pasar pagi MPSJ di Bandar Puchong Jaya kembali beroperasi pada 16 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

417 pasar dibuka seluruh Selangor, ikut SOP ketat

PUCHONG, 16 JUN: Sebanyak 417 pasar pagi, pasar malam dan bazaria dibuka berperingkat di lokasi terpilih di Selangor bermula semalam, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata operasi mengikut ketetapan pihak berkuasa tempatan (PBT) dijalankan secara bergilir bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Kita sedia maklum kesusahan ditanggung peniaga yang tiada pendapatan selama tiga bulan tetapi kita terpaksa buka (pasar) berperingkat.

“PBT perlukan masa untuk berbincang dengan persatuan peniaga. Setiap lokasi perlu ada lawatan tapak jadi perlukan sedikit masa,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pasar pagi Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MPSJ Noraini Roslan berkata kerjasama persatuan peniaga melancarkan urusan pembukaan tapak dalam tempoh singkat.

“Jika harapkan sepenuhnya kepada majlis, mungkin sukar. Harap semua pihak mematuhi SOP supaya tidak timbul kluster pasar pagi atau pasar malam. Kita akan pantau semua tapak setiap masa,” katanya.


Pengarang :