AGENDABERITA UTAMANASIONAL

46,713 kes denggi setakat 30 Mei – CPRC

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Sejumlah 46,713 kes denggi dilaporkan dari 29 Dis tahun lepas hingga 30 Mei tahun ini, demikian menurut Laporan Situasi Semasa Denggi, Chikungunya dan Zika di Malaysia Bagi Tahun 2019 dan 2020.

Angka dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis Negara (CPCR) Kementerian Kesihatan menunjukkan penurunan sebanyak 6,228 kes (11.8 peratus) berbanding 52,941 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Laporan itu turut menyebut bahawa tidak kematian akibat denggi dilaporkan pada minggu ke-22 (24-30 Mei) 2020 dengan jumlah kumulatif 82 kematian berbanding 81 bagi tempoh sama tahun lepas.

“Sepanjang minggu ke-22 dalam tahun 2020, sejumlah 1,625 kes denggi telah dilaporkan yang menyaksikan penurunan sebanyak 8.8 peratus berbanding minggu sebelumnya,” menurut laporan yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebook beliau hari ini.

Setakat minggu ke-22 tahun ini, Selangor mempunyai angka tertinggi kes denggi iaitu 26,943 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (4,617) serta Johor (4,111).

Laporan CPRC turut menyatakan bahawa 48 kes Chikungunya dilaporkan sepanjang minggu ke-22 dengan jumlah keseluruhan 596 kes dicatatkan dari 29 Disember tahun lepas hingga 30 Mei 2020.

Menurut laporan itu, Pengawasan Zika dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 29 Dis 2019 hingga 30 Mei 2020 manakala saringan dilakukan ke atas sampel darah dan air kencing individu dengan gejala disyaki namun tiada kes positif zika dilaporkan.

-BERNAMA


Pengarang :