AGENDANASIONAL

4,969 panggilan mengadu tekanan emosi semasa PKP – KKM

SHAH ALAM, 3 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 4,969 panggilan berkaitan masalah tekanan emosi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini jumlah keseluruhan panggilan ialah 9,938 dan panggilan kedua tertinggi disebabkan kehilangan pekerjaan dan tiada punca pendapatan.

“Sementara tujuh peratus aduan berkaitan masalah rumah tangga seperti keganasan dan baki aduan ialah berkaitan ketakutan akibat Covid-19 dan bantuan kewangan.

“Seramai 148 pegawai psikologi kaunseling KKM bersedia menerima panggilan daripada orang awam, kami menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan kesihatan mental ini secara dalam talian juga,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini KKM dengan kerjasama Medical Relief Society (MERCY Malaysia) menyediakan perkhidmatan sokongan psikososial kepada rakyat Malaysia.

Semua petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan emosi akibat Covid-19 boleh menghubungi talian 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935.

Waktu operasi perkhidmatan ini bermula dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.


Pengarang :