Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Kota Anggerik bantu keluarga kebakaran Taman Cahaya Alam

SHAH ALAM, 1 JUN: Nasib malang sebuah keluarga yang terlibat dalam kebakaran rumah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini pada 30 Mei lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Najwan Halimi berkata, beliau akan membantu urusan kebajikan keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri bersama enam anak berusia empat hingga 17 tahun termasuk berkaitan pendidikan.

“Saya ada berhubung dengan ketua keluarga tersebut dan melahirkan simpati di atas nasib yang menimpa sehingga hampir seluruh rumah mereka musnah dalam tragedi itu.

“Selain menghulurkan bantuan kewangan segera semalam, saya bercadang untuk membantu keluarga ini daripada aspek kebajikan anak-anak antaranya berkaitan pendidikan sejurus mereka keluar dari hospital nanti,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut laporan BH Online, kebakaran itu berpunca dari tingkat bawah rumah teres dua tingkat sehingga tujuh daripada lapan sekeluarga melecur ketika cuba menyelamatkan diri dengan bertindak terjun daripada tingkat atas.

Susulan itu, semua mangsa kini dirawat di Hospital Shah Alam.


Pengarang :