Wong Siew Ki (kanan) mengedarkan kit Covid-19 kepada penduduk di sekitar Balakong bagi membendung penularan Covid-19 pada 19 April 2020. Foto ihsan FB Wong Siew Ki
ADNSELANGOR

Agih 49,000 kit Covid-19, penuhi keperluan penduduk Balakong

SHAH ALAM, 4 JUN: Ahli Dewan Negeri Balakong mengagihkan 49,000 set kit Covid-19 berupa pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada penduduk bagi mencegah penularan wabak berkenaan.

Wong Siew Ki berkata daripada jumlah itu, 45,000 adalah sumbangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diagihkan sehingga 31 Mei lalu bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan memilikinya.

Beliau berkata, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menambah 4,000 set bagi memenuhi keperluan penduduk dan ia boleh didapati di pusat terbabit serta Pusat Khidmat Parlimen Bangi.

“Oleh sebab jumlah diberi Nadma kurang daripada jumlah penduduk di DUN Balakong, ramai antara mereka tidak menerimanya. Justeru, saya setuju untuk menambah kit Covid-19 supaya lebih ramai terima,” katanya menerusi Facebook.

Siew Ki berkata penduduk yang belum mendapat kit itu boleh hadir ke pusat khidmat dan setiap keluarga hanya dibenarkan mengambil satu pek sahaja serta melampirkan bukti iaitu kad pengenalan, bil elektrik atau air yang menunjukkan mereka menetap di DUN Balakong.


Pengarang :