AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor selaras bil semasa PKP, jangka selesai Julai depan

SHAH ALAM, 5 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam proses menyelaraskan bayaran bil semasa untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan tiada bacaan meter ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, kata ketua komunikasi korporatnya.

Elina Basri berkata pelaksanaan itu selaras dengan garis panduan dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan jumlah pelarasan itu akan ditunjukkan dalam bil Jun atau Julai depan.

“Bagi jumlah caj terlebih bayar oleh pelanggan berdasarkan bil sebelum pelarasan PKP, baki tersebut akan direkodkan di dalam akaun pelanggan.

“Kami jangkakan proses ini akan diselesaikan pada Julai depan kerana kitaran bil lengkap akan mengambil masa selama sebulan,” katanya dalam kenyataan.

Elina berkata secara keseluruhannya premis kategori domestik menunjukkan peningkatan penggunaan air secara pro rata sebanyak 15 peratus sebulan berbanding sebelum PKP.

“Pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai bil tinggi digalakkan terus menghubungi Air Selangor untuk siasatan lanjut di talian 15300.

“Anda juga boleh menghubungi WhatsApp kami di 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram), aplikasi Air Selangor serta emel [email protected],” katanya.


Pengarang :