Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kanan) ketika melawat kawasan kebun pada Pelancaran OURFARM di Jabatan Pertanian Serdang semalam. Turut kelihatan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes (kiri). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

AirAsia lancar e-dagang ‘Ourfarm’, bantu tingkat pendapatan petani

SERDANG, 16 JUN: AirAsia Group kini mengembangkan perniagaannya ke dalam industri pertanian menerusi pelancaran platform e-dagang pertanian kepada perniagaan (B2B) Ourfarm.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, Ourfarm menghubungkan petani dan nelayan secara langsung kepada syarikat perniagaan, terutamanya dalam bekalan makanan seperti restoran dan trak makanan untuk meningkatkan pendapatan mereka.

“Ketika kami melihat keuntungan yang diraih petani, mereka harus mendapat lebih banyak keuntungan. Kami melihat rantaian bekalannya pula dan kami fikir dapat mengurangkan kos rantai bekalan dan memberikan lebih banyak keuntungan kepada petani.

“Kami juga ingin menjadikan makanan lebih murah kepada orang ramai dengan mengurangkan kos rantaian bekalan, supaya perniagaan makanan dapat menawarkan makanan lebih murah kepada orang ramai,” katanya kepada pada sidang media selepas pelancaran Ourfarm oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di sini semalam.

Pada masa depan, Fernandes berkata Ourfarm juga akan menyediakan gudang atau kemudahan rantaian sejuk di mana bukan sahaja syarikat perniagaan tetapi juga pengguna dapat membeli produk segar seperti sayur-sayuran, ikan dan daging secara dalam talian.

“Langkah pertama adalah platform, langkah kedua adalah gudang. Ideanya adalah untuk dapat membungkus semula pada saiz lebih sesuai untuk pengguna dan pada bulan berikutnya kami akan menjual terus kepada pengguna. Jadi, sesiapa sahaja boleh membeli produk segar,” katanya.

Kiandee dalam ucapannya berkata platform baharu yang dilancarkan itu dapat membantu meningkatkan pendapatan petani dan nelayan.

“Akses ke pasar pada kelazimannya menjadi cabaran besar bagi pengeluar makanan pertanian. Ramai yang masih bergantung kepada orang tengah untuk memasarkan hasil mereka serta mendapatkan input pertanian seperti benih, baja dan makanan untuk ternakan haiwan,” katanya.

Platform itu disokong oleh sistem kargo, logistik, pembayaran, perniagaan dan pelanggan AirAsia untuk mengatasi cabaran kos operasi dan akses ke pasaran baharu untuk petani dan membeli produk segar dalam kuantiti yang banyak dengan harga yang lebih rendah, ia juga membolehkan perkhidmatan logistik untuk pembeli perniagaan, katanya.

Kiandee berkata kementerian akan menggalakkan lebih daripada 1,000 petani yang berdaftar di bawah agensinya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mengikuti platform dan meneroka potensi dalam e-dagang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ourfarm S. Lalitha berkata platform itu kini mempunyai 45 petani dan penternak ayam yang menyediakan bekalan produk segar kepada syarikat perniagaan yang membuat pesanan minimum sebanyak 50 kilogram di sekitar Lembah Klang.

“Pada masa ini kami bekerjasama dengan semua petani yang mendapat bantuan kerajaan, pada masa depan kami akan menjalinkan kerjasama dengan petani persendirian,” katanya sambil menambah Ourfarm akan menyediakan pengangkutan dengan kerjasama TheLorry.com yang akan mengambil sayur daripada petani dan mengagihkannya terus kepada syarikat perniagaan.

– BERNAMA


Pengarang :