Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media khas berhubung perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasminya di Shah Alam pada 15 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Amirudin kecam Dr Daroyah keluar parti, gesa kosongkan kerusi DUN Sementa

SHAH ALAM, 14 JUN: Pengerusi KEADILAN Selangor mengecam keras tindakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa keluar dari parti berkenaan dan dianggap sebagai pengkhianatan kepada rakyat.

Susulan itu Dato’ Seri Amirudin Shari menggesa supaya Dr Daroyah Alwi meletak jawatan sebagai ADN sekiranya masih bermaruah.

Beliau turut memaklumkan urusan peletakan jawatan Dr Daroyah sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) akan diuruskan pejabat DNS melalui Speaker, Ng Suee Lim.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Dr Daroyah mengumumkan keluar dari KEADILAN. Tindakan ini jelas satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat yang memberi mandat jelas kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk mentadbir Selangor melalui Pilihan Raya Umum ke 14 yang lepas,” kata Dato’ Menteri Besar dalam kenyataan.

Beliau menegaskan keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah untuk membantu rakyat yang terkesan dengan wabak Covid-19.

“Saya yakin ADN KEADILAN serta semua lapisan jentera parti terutamanya ketua-ketua cabang merasa mual dengan politik separa matang yang tidak berkesudahan.

“KEADILAN dan PAKATAN Selangor beriltizam berkhidmat sedaya-upaya demi menghormati mandat rakyat,” katanya.


Pengarang :