Mohd Khairuddin Othman (tengah) ketika melancarkan program Selangor Xtiv Virtual 2020 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 2 Jun 2020. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Anjur larian, silat secara maya, Selangor galak belia aktif di rumah

SHAH ALAM, 2 JUN: Selangor menganjurkan aktiviti sukan dalam talian dengan hadiah keseluruhan RM431,000 bagi menggalakkan masyarakat terutama belia bergiat aktif ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata Selangor Xtiv Virtual 2020 membabitkan tiga sub-program iaitu Selangor Xtiv Virtual e-Sport, Selangor Xtiv Virtual Run dan Selangor Martial Art Xtiv Virtual.

“Program ini menggalakkan masyarakat bergiat aktif dengan melakukan aktiviti hanya di hujung jari walaupun ketika berada di rumah,” katanya ketika melancarkan program di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Bagi kategori Selangor Xtiv Virtual e-Sport, pertandingan meliputi permainan video dalam talian seperti Mobile Legends Bang Bang, PUBG Mobile, Fifa 2020, Pro Evolution Soccer 2020 dan Dota.

Selangor Xtiv Virtual Run pula membabitkan larian 10 kilometer di rumah masing-masing sementara Selangor Martial Art Xtiv Virtual merangkumi seni mempertahankan diri.

Berikut adalah maklumat program:

1. Selangor Xtiv Virtual e-Sport
• Bermula sejak 4 Mei hingga 31 Disember (lapan fasa)
• Penyertaan dari usia 13 hingga 40 tahun
• Fasa pertama menerima penyertaan 4,255 pasukan membabitkan 20,833 peserta manakala 60 peserta berjaya menggondol hadiah terkumpul RM45,000
•Fasa kedua bermula 8 Jun hingga 27 Jun (menawarkan hadiah RM26,000)

2. Selangor Xtiv Virtual Run
• Sasaran 16,000 peserta
• Fasa satu bertema #irunathome (1 Mei hingga 31 Mei, 1,500 peserta)
• Fasa dua mulai 1 Jun dengan tema #thankyoufrontliners
• Tawaran hadiah t-shirt, medal dan cabutan bertuah

3. Selangor Martial Art Xtiv Virtual
• Silat, Wushu, Taekwando, Silambam, Muay Thai, Karate-Do, Judo secara maya
• Terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, semua peringkat usia
• Hadiah terkumpul RM51,000 dan sijil penyertaan
• Sasar 2,000 penyertaan
• Mulai 8 Jun hingga 31 Julai
• Peserta diminta menghantar video kreatif solo masing-masing ke talian WhatsApp/Telegram 010-444 3441 atau e-mel [email protected]


Pengarang :