Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
AGENDANASIONAL

Anwar: Banyak ‘jerung’ rasuah bakal bebas, rencat usaha bersih negara

SHAH ALAM, 10 JUN: Pembebasan beberapa individu berpengaruh daripada tuduhan rasuah dan gubahan wang haram memberi gambaran jelas lebih banyak ‘jerung’ lain akan dilepaskan.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu seolah-olah membalikkan usaha kerajaan Pakatan Harapan yang sebelum ini cuba membersihkan imej Malaysia di mata dunia.

“Perkembangan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Riza Aziz dan Tan Sri Musa Aman memberi gambaran jelas ramai lagi jerung akan dibebas dan dilepaskan. Apakah cukup dan munasabah penjelasan yang diberikan?

“Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International meletakkan Malaysia di tangga 51 tahun lalu berbanding 61 pada 2018. Apakah tahun ini akan tenat berbanding sebelum ini?” soalnya dalam kenyataan di Facebook berhubung renungan 100 hari Perikatan Nasional.

Pada 14 Mei lalu, anak tiri kepada Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pengubahan wang haram RM1.25 bilion berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad.

Mahkamah Tinggi semalam pula melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Sementara itu, Anwar yang juga ketua pembangkang turut mempertikai beberapa pengumuman terkait Covid-19 membabitkan bilion ringgit tanpa diimbangi Parlimen.

Katanya, berbanding Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Korea Selatan termasuk Singapura, kesemua negara tersebut meluluskan pakej rangsangan melalui Parlimen atau Kongres.

“Saya sudah suarakan dalam pelbagai medium bahawa kerajaan mesti membentangkannya di Parlimen agar perincian dapat dipastikan sekali gus mengelak kebocoran dan ketirisan serta menafikan hak kumpulan sasar,” katanya lagi.


Pengarang :