AGENDANASIONAL

Anwar gesa Kerajaan Persekutuan adakan sidang Parlimen segera

SHAH ALAM. 30 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaan supaya mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin jika benar-benar Kerajaan Persekutuan menjunjung tinggi institusi itu sebagai tiang seri demokrasi.

Menurut beliau Parlimen adalah institusi terpenting negara bukan sekadar tempat mewujudkan undang-undang baharu tetapi berfungsi sebagai badan pengimbang kepada cabang eksekutif seperti dinyatakan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Namun, lain halnya di Malaysia di mana kerajaan yang ada pada hari ini, yang tidak hanya tidak ada keabsahan tetapi terus terusan menginjak setiap aspek demokrasi, termasuk terus mengelak untuk mengadakan sidang Parlimen atau Dewan Rakyat.

“Gejala ini ternyata tidak berlaku di negara-negara maju yang lain, termasuk jiran kita Singapura,” kata ketua pembangkang dalam kenyataan di Facebook sempena Hari Parlimen Sedunia 2020.

Beliau berkata peranan Parlimen penting ketika ini tatkala pandemik Covid-19 bagi meluluskan peruntukan kecemasan, memastikan kebertanggungjawaban dan meneliti setiap tindakan Kerajaan agar kebocoran atau kecurangan dapat dielakkan.


Pengarang :