AGENDANASIONAL

Anwar: Kaji kesan pengajian dalam talian pelajar luar bandar

SHAH ALAM, 10 JUN: Kerajaan perlu mencari jalan membuka semula institut pengajian tinggi (IPT) dalam kadar segera dengan mengetatkan tatacara operasi piawaian (SOP), kata presiden KEADILAN.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penelitian menyeluruh keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu dibuat memandangkan ia mendapat tentangan dalam kalangan pelajar.

“Pelajar pedalaman bimbang kerana akses internet terhad. Banyak kekangan jika guna (cara ini). Orang bandar lebih berupaya.. kena fikir ia membebankan pelajar luar bandar.

“Jika penyelesaianya tetap cara ini, ia mesti disusun terutama kepada pelajar yang tak ada akses. Mungkin boleh letakkan ke kawasan berinternet,” katanya pada siaran langsung di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Anwar menemuramah beberapa pelajar secara dalam talian berhubung pelaksanaan PdP sehingga 31 Disember depan.

Mei lalu, Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan PdP dilaksanakan secara dalam talian dan pengecualian hanya diberikan kepada lima kategori penuntut berkeperluan untuk pulang ke kampus secara berperingkat.

Antaranya, penuntut pasca-siswazah mod penyelidikan di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan penuntut yang berkeperluan hadir secara fizikal ke makmal, bengkel, studio reka bentuk atau memerlukan peralatan khusus bagi menjalankan penyelidikan.


Pengarang :