Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
AGENDANASIONAL

Anwar: Politik bukan ‘sepak terajang’ rebut kuasa tapi urus tadbir rakyat

SHAH ALAM, 26 JUN: Politik tidak wajar jadi medan sepak terajang merebut kuasa sebaliknya memainkan peranan bagi merangka dasar terbaik untuk mengurus tadbir rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai kenyataan, bahkan tohmahan berkaitan isu peralihan kuasa disuarakan kebelakangan ini hingga mengabaikan tanggungjawab sebenar seorang pemimpin.

“Kita perlu balik kepada landasan bahawa politik ini bukan sepak terajang politikus untuk sekadar mencari helah atau taktik merebut kuasa. Politik terkait dengan urus tadbir dan soal rakyat.

“Apakah politik ini bermakna kita perlu memperkayakan sanak saudara dan puak kita. Apakah (politik) ini tanpa dasar yang nak menjaga kepentingan rakyat jelata?” kata ketua pembangkang ketika sesi siaran langsung menerusi Facebook petang tadi.

Sebaliknya, presiden Parti Keadilan Rakyat berkata keutamaan harus diberi bagi mencari titik perdamaian apabila wujud pertikaian seterusnya mengumpul kekuatan membangunkan negara.

Beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan menjelaskan pemimpin juga tidak harus menyimpan dendam kesumat tetapi mendepani masalah rakyat dengan mencari hala tuju baharu yang membawa perubahan lebih baik.

“Tentunya (perlu) penghayatan Islam, soal kedudukan orang Melayu, Bumiputera dan rakyat di negara kita. Bagi saya ini harus menjadi tekad kita dan landasan kita,” kata Anwar.


Pengarang :