AGENDANASIONAL

Anwar ucap tahniah kepada Agong

SHAH ALAM, 8 JUN: Presiden KEADILAN merakamkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Keputeraan Rasmi baginda hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan terus memberikan ketaatan serta kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan bersama rakyat.

“Patik bagi pihak Pakatan Harapan dan KEADILAN mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Semoga baginda kekal qarar memerintah dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara Malaysia yang tercinta,” tulisnya menerusi Facebook, hari ini.

Sebelum ini kerajaan bersetuju untuk meminda Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah daripada 6 Jun kepada 8 Jun.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, kerajaan juga bersetuju Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah adalah pada hari Isnin pertama bulan Jun setiap tahun mulai 2021.


Pengarang :