AGENDANASIONAL

Arab Saudi dijangka izin 1,000 jemaah tunai haji, cegah Covid-19

SHAH ALAM, 24 JUN: Kira-kira 1,000 jemaah sedia ada di Arab Saudi dibenarkan menunaikan haji tahun ini dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19, kata menteri hajinya.

Mohammad Benten berkata kerajaan akan bekerjasama dengan perwakilan diplomatik bagi memilih jemaah warga asing yang tinggal di negara itu dan memenuhi kriteria kesihatan ditetapkan, lapor AFP.

“Ia akan membabitkan kira-kira 1,000 jemaah, mungkin kurang, mungkin lebih sedikit. Bilangannya tidak akan menjadi puluhan atau ratusan ribu jemaah tahun ini,” katanya.

Beliau berkata keputusan tidak menerima kemasukan jemaah dari luar Arab Saudi adalah kali pertama dalam sejarah moden negara itu berbanding 2.5 juta jemaah tahun lalu.

Setakat ini, proses pemilihan jemaah untuk musim haji kali ini masih belum jelas.

Sementara itu Menteri Kesihatan, Tawfiq al-Rabiah, memaklumkan bahawa haji tahun ini hanya terhad kepada jemaah berumur bawah 65 tahun dan tiada menghidap sebarang penyakit kronik.

Katanya, jemaah terbabit akan melalui ujian saringan Covid-19 sebelum tiba di Makkah dan dikehendaki menjalani kuarantin di rumah selepas menunaikan ibadat haji.

Arab Saudi berdepan peningkatan jangkitan wabak yang kini mencecah lebih 164,000 kes iaitu tertinggi dalam kalangan negara Teluk dengan mencatatkan hampir 1,350 kematian.


Pengarang :