SELANGOR

Atlet Selangor kembali berlatih, sedia hadapi Sukma 2020

SHAH ALAM, 30 JUN: Atlet Selangor kembali menjalani latihan persediaan menghadapi Sukan Malaysia 2020 (Sukma 2020) selepas mendapat kebenaran Majlis Sukan Negeri (MSN) pada 15 Jun lalu.

Pemangku pengarah eksekutif MSN Selangor berkata kebenaran sesi latihan diberikan kepada lebih 10 pasukan membabitkan acara individu dan berkumpulan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Belia dan Sukan.

“Sukan individu yang memulakan latihan termasuk angkat berat, lumba basikal, olahraga, menembak, memanah, gimnastik, golf, boling padang, karate, silat dan petanque.

“Aktiviti berpasukan yang sudah mula berlatih ialah hoki dan ragbi,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata latihan dijalankan secara dua sesi bagi menjaga penjarakan sosial manakala sukan berpasukan pula menumpukan aspek kecergasan bagi mengelak aktiviti bersentuhan.

Mohamad Nizam menjelaskan pasukan yang ingin memulakan latihan perlu mengemukakan SOP terlebih dahulu selain memastikan pusat latihan dibersihkan dan menjalani proses nyah kuman.


Pengarang :