Amartya Sen menyampaikan ucapan mengenai Memahami Reformasi ketika perasmian persidangan tahunan kelima Jaringan Pembangunan Sejagat di New Delhi pada 27 Januari 2004. Foto AFP
PENDAPATRENCANA

Bina sistem ekonomi berpaksi keadilan

Oleh Anwar Ibrahim

Saya biasa dengan penulisan Dr Amartya Sen meski kami tidak pernah bertemu sehingga 2005 apabila saya bersama-sama beliau dalam satu forum di London School of Economics (LSE). Sebagai seseorang yang tidak punyai kemahiran atau latihan awal terkait ekonomi dan falsafah, saya agak kekok untuk berkongsi pentas dengan seorang tokoh intelektual terkemuka seperti beliau. Adalah sesuatu yang melegakan tatkala Amartya juga mengikuti rapat perjalanan saya dalam politik dan begitu bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung saya dan keluarga di Malaysia.

Kekaguman beliau kepada perjuangan rakyat Malaysia dalam menegakkan demokrasi dan kebebasan ternyata mengujakan. Kami menjadi kawan rapat sejak itu. Saya kemudiannya turut dijemput ke Universiti Harvard dan diajak makan tengah hari bersama beliau. Amartya juga mengajak saya untuk bersama dalam beberapa perbincangan intelektual, antaranya di Bilbao, Sepanyol dan Florence, Itali dengan topik agama, ekonomi dan pembangunan menjadi bahan wacana.

Saya pengikut setia dan peminat buku-buku beliau, terutamanya “Development as Freedom”, “The Argumentative Indian”, “Identity and Violence” dan “The Idea of Justice” yang saya kupas di bawah.

Pemikir ulung

Minggu lalu, rakan Twitter Absalias mengingatkan saya kepada karya agung dalam kefalsafahan yakni buku “The Idea of Justice” oleh Amartya. Beliau akan diingati sebagai pemikir ulung yang memperjuangkan keadilan.

Untuk sesetengah orang, Amartya adalah pakar ekonomi yang memenangi Hadiah Nobel dalam bidang ekonomi pada 1998. Karyanya terkait ekonomi yang berkebajikan dan keadilan ternyata mengundang banyak pujian di negaranya, India dan peringkat global. Sebagai pemikir yang bukan dari Barat, “The Idea of Justice” menarik perhatian pemikir-pemikir yang berada di Barat. Dalam momen yang sama, beliau cuba untuk menjambatani pandangan-pandangan di Timur dan Barat dalam satu penulisan penting. Pencapaian yang ternyata bukan kecil dampaknya.

Mungkin ini antara sebab mengapa “The Idea of Justice” masih relevan. Mudah untuk difahami dalam konteks dan tradisi falsafah politik Barat, karya itu mencakup pemikiran India dan mengangkat takrifan keadilan dengan gaya yang cukup luar biasa. Sebagai pakar ekonomi, beliau memetik Adam Smith dan Karl Marx yang selalu dipinggirkan dalam apa jua perbahasan. Namun, keadilan yang saksama ternyata menjadi gagasan penting dalam teori-teori popular mereka. Beliau juga memberi perhatian yang cukup besar terhadap karya-karya John Rawls, dan buku ini didedikasikan kepada susuk itu. Di Barat, Rawls menghidupkan kembali perbincangan mengenai keadilan dan falsafah politik yang selama ini dianggap begitu besar setelah karya-karya Zaman Pencerahan, baik dari Thomas Hobbes, Jean-Jacques Rousseau, atau John Locke.

Konsep pemikiran terkait keadilan telah bermula lama. Malah sejak zaman filasuf-filasuf silam Yunani purba. Ideanya mudah. Bagaimana harus kita bangunkan dunia yang sempurna? Bagi Plato, ‘Kota Yang Ideal’. Bagi Hobbes, Rousseau dan Locke, ‘tatanan semula jadi’. Bagi Rawls, ‘kedudukan asal’. Pendekatan ini menumpukan kepada usaha membina institusi yang sempurna dalam memungkinkan keadilan.

Secara praktikal, sudah tentu ini menjadi masalah. Pemikir-pemikir yang terkemudian pada abad ke-19 dan ke-20 menumpukan kepada kajian perbandingan dalam membina dunia seadil yang mampu.

Amartya mengadunkan pendekatan-pendekatan ini untuk satu matlamat — keadilan.

Mendahului Barat

Dan beliau secara halus mengisyaratkan bahawa para filasuf yang bukan dari Barat telah menemukan adunan ini jauh lebih awal sebelum dunia Barat yang kini baru merangkak. Langkah ini ternyata akhirnya memungkinkan penubuhan Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian dari cita murni untuk mewujudkan dunia yang seimbang. Daripada pendekatan perbandingan yang rasional dan reflektif, wacana dan pemikiran pragmatik memungkinkan kita untuk secara kritis mewujudkan keadilan.

Daripada tercari-cari keadilan yang ideal, Amartya mengusulkan ia harus bermula dengan membetulkan ketidakadilan yang berlaku di depan mata kita hari ini. Teori yang dikemukakan beliau tidaklah sesempurna mana kerana kita semua manusia biasa. Namun, banyak yang dapat dikecapi di dunia ini dengan pendekatan praktikal tersebut.

Pendekatan Amartya juga menyedari tanggungjawab yang hadir dengan kebebasan dan kemampuan sebenar kita menilai perkara itu sama ada satu demi satu atau gerak kerja satu negara ke atas negara yang lain. Beliau mengarahkan satu bentuk kritikan yang baharu terhadap kapitalisme, demokrasi dan perjuangan dalam mengangkat karamah insaniah. Dari berpaut pada satu ideologi, beliau menganjurkan agar kita merangkul segala bentuk pemikiran yang ada dan bersamanya menggunakan akal dan seni musyawarah dalam mewujudkan tatanan dunia yang lebih baik. Dan sebab itu Amartya akan kekal relevan.

Saya akhiri ulasan ini dengan rangkap dari buku “The Idea of Justice” untuk kita pertimbang dan fikirkan:

“Sebagai penutup kepada perbincangan ini, penilaian terhadap keadilan menuntut pembabitan kita melalui ‘mata kemanusiaan’. Pertamanya kita boleh kaitkannya (keadilan) dengan sesiapa saja di muka bumi ini, dan bukan dengan kelompok kita sahaja. Kedua, kerana pilihan dan tindakan kita akan mengesankan kehidupan orang lain baik jauh atau dekat; dan ketiga, perspektif sejarah mereka mahupun kedudukan geografi mereka akan membantu kita membenam faham kejumudan”.

“Tanggapan terkait karamah insaniah terbina atas paksi kemanusiaan yang kukuh. Hak ini tidak hadir dengan kewarganegaraan mana-mana negara, atau dengan menjadi ahli mana-mana negara tetapi adalah hak setiap mereka yang bergelar manusia. Konsep ini berlainan sama sekali dengan hak yang dicipta hanya untuk satu kaum.”

Dipetik daripada Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim,pengerusi Pakatan Harapan dan ketua pembangkang.


Pengarang :