AGENDANASIONAL

Bon mata wang tempatan Malaysia naik RM1.5 trilion pada suku pertama

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Pasaran bon mata wang tempatan Malaysia berkembang 2.9 peratus suku ke suku pada suku pertama 2020 kepada RM1.5 trilion apabila kedua-dua bon kerajaan dan korporat meningkat di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19, kata Bank Pembangunan Asia (ADB).

ADB dalam keluaran terbaharu laporan Asia Bond Monitor yang dikeluarkan hari ini berkata jumlah sukuk tertunggak, atau bon Islam meningkat 3.1 peratus suku ke suku kepada RM966.7 bilion pada akhir Mac 2020.

“Bon kerajaan membentuk 52.6 peratus daripada keseluruhan bon mata wang tempatan Malaysia dengan nilai mencecah AS$186 bilion (AS$1=RM4.27).

“Ini merupakan peningkatan 3.9 peratus daripada suku sebelumnya dan 4.9 peratus lebih besar berbanding tempoh yang sama pada 2019,” kata bank itu.

ADB berkata bon korporat menyumbang 47.4 peratus daripada jumlah bon, bernilai AS$167.6 bilion pada Suku Pertama 2020.

Sementara itu, ia berkata pandemik Covid-19 telah menjejaskan pasaran bon mata wang tempatan di negara-negara sedang pesat membangun Asia Timur, terdiri dari China, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, apabila sentimen pelaburan di seluruh dunia dan di rantau ini merosot dan langkah-langkah sekatan mengehadkan aktiviti ekonomi.

“Sebaran kredit telah meluas bagi hampir semua pasaran di rantau ini apabila para pelabur mengambil pendekatan mengelak risiko, dengan bahagian pegangan asing dalam kebanyakan pasaran bon mata wang tempatan negara sedang pesat membangun Asia Timur juga susut,” kata bank itu.

Jumlah bon mata wang tempatan di negara-negara sedang pesat membangun Asia Timur berjumlah AS$16.3 trilion pada akhir Mac, naik 4.2 peratus daripada Disember 2019 dan 14 peratus lebih tinggi pada Mac 2019.

“Terbitan bon di rantau ini mencecah AS$1.7 trilion pada Suku Pertama 2020 naik 19.7 peratus daripada Suku Keempat 2019,” kata bank itu.

ADB berkata bon mata wang tempatan negara-negara sedang pesat membangun Asia Timur sebagai sebahagian daripada keluaran dalam negara kasar meningkat kepada 87.8 peratus pada akhir Mac, 2020.

“Bon kerajaan naik kepada AS$9.9 trilion pada akhir Mac, manakala bon korporat mencecah AS$6.4 trilion,” kata ADB.

China kekal sebagai pasaran bon terbesar di Asia Timur berjumlah AS$12.5 trilion menyumbang 76.6 peratus kepada jumlah bon pada akhir Suku Pertama 2020.

ADB berkata risiko kepada prospek global masih cenderung rendah terutamanya disebabkan oleh ketidakpastian yang disebabkan oleh pandemik itu termasuk prospek aktiviti ekonomi minimum bagi tempoh yang lebih panjang dan gelombang seterusnya penularan Covid-19.

Faktor-faktor risiko lain termasuklah ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat serta kemeruapan kewangan yang disebabkan aliran keluar modal dari pasaran sedang pesat membangun.

Ketua Ahli Ekonominya Yasuyuki Sawada berkata kerajaan dan bank pusat di rantau ini telah mengambil langkah-langkah penting untuk mengurangkan impak Covid-19 menerusi pakej rangsangan fiskal dan kelonggaran dasar monetari.

“Bagaimanapun, banyak lagi yang perlu dilakukan bagi mengukuhkan ekonomi dan pasaran kewangan rantau ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :