Temuramah Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad di Pejabat Urusan Tourism Selangor pada 23 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Buka pintu sempadan negara untuk perubatan, ‘bonus’ buat Selangor

SHAH ALAM, 24 JUN: Pembukaan semula pintu sempadan negara untuk perubatan memberi kelebihan untuk Selangor apabila terdapat lebih 20 hospital di negeri ini berdaftar dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata pengumuman itu membolehkan pihaknya fokus kepada sektor pelancongan perubatan bagi menjana ekonomi negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Antara hospital berdaftar dengan MHTC ialah Hospital Pakar KPJ Damansara, Hospital Wanita Metro, Hospital Mata Tun Hussein Onn, Hospital Columbia Asia Puchong, Prof Muhaya Eye & Lasik Centre serta Avisena Specialist Hospital.

“Justeru kami yakin sasaran Kerajaan Negeri menerusi Tourism Selangor yang menetapkan sasaran baharu kedatangan pelancong seramai 6 juta orang pada tahun ini boleh tercapai,” katanya kepada SelangorKini.

Pada Februari lalu, Azrul Shah berkata bagi tempoh Januari hingga September tahun lalu, seramai 142,000 pelancong Indonesia direkodkan memasuki negeri ini bagi tujuan perubatan.

Sementara jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di Selangor meningkat daripada 135,000 pada 2015 kepada 240,000 orang pada 2018.

16 Jun lalu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemasukan warga asing ke negara ini bagi tujuan perubatan adalah dibenarkan dan perlu mendaftar dengan MHTC.


Pengarang :