AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah jejaki prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur dan pengumuman oleh Bank Pusat Eropah (ECB) awal hari ini bahawa ia akan menyuntik tambahan €600 bilion (AS$676 bilion) untuk merancakkan lagi ekonominya, kata peniaga.

Pada 9.07 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.32 mata kepada 1,557.52 daripada 1,561.84 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks dibuka rendah 0.67 mata kepada 1,561.17.

Dalam pasaran secara menyeluruh, bagaimanapun, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 263 berbanding 176, manakala 260 kaunter tidak berubah, 1,203 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 566.55 juta unit bernilai RM366.28 juta.

Dalam nota, Public Investment Bank Bhd berkata Dow Jones Industrial Average ditutup kurang daripada 0.1 peratus lebih tinggi kepada 26,281.82, manakala S&P 500 merosot 0.3 peratus, untuk ditutup kepada 3,112.35.

Prestasi semalaman Wall Street yang lemah turut menyebabkan indeks serantau diniagakan kebanyakannya rendah.

Sementara itu, AmBank Research dalam nota berkata ECB menambah €600 bilion (AS$676 bilion) lagi dalam program Pembelian Kecemasan Pandemik yang menjadikan jumlah rangsangan monetari yang diumumkan kepada €1.35 trilion (AS$1.52 trilion) dan mengekalkan kadar faedah utama tidak berubah.

“Apa yang dapat dilihat di sini ialah ECB, seperti yang lain, tidak berada dalam kedudukan yang baik dalam menghadapi krisis ekonomi dan kadar pemulihan.

“Pada pandangan kami, pengumuman tersebut, bagaimanapun, menjelaskan apa yang akan dilakukan oleh ECB untuk menyokong ekonomi.

“Sokongan dasar dijangka memastikan pasaran gembira, terutamanya apabila terdapat data ekonomi yang semakin baik berikutan sekatan pergerakan yang berkurangan, dan ia juga bermakna unjuran inflasi jelas di bawah 2.0 peratus pada 2022, lebih banyak rangsangan monetari yang tidak boleh dikecualikan dalam kita melangkah ke hadapan,” menurut firma penyelidikan itu.

Dalam negara, Kenanga Research berkata berikutan semakan setengah tahun Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia semalam, Telekom Malaysia Bhd dan KLCC Property Holdings Bhd (KLCC), akan menggantikan Malaysia Airports Holdings Bhd dan AMMB Holdings Bhd dalam FBM KLCI seperti yang dijangka.

Selepas melepasi ujian mudah tunai dalam tempoh tersebut, KLCC dimasukkan semula ke dalam Siri itu selepas 18 bulan.

“Oleh itu, ia bukan hanya kembali kepada FBM KLCI tetapi juga, antara lain, Indeks FBM Emas Shariah,” menurut firma penyelidikan itu.

Bagaimanapun, UMW Holdings Bhd dikecualikan daripada semua siri indeks, selepas gagal ujian mudah tunai, menyatakan semua perubahan komponen akan berkuat kuasa pada permulaan perniagaan pada Isnin, 22 Jun, 2020.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 11 sen kepada RM8.08, Tenaga merosot 14 sen kepada RM11.88, Public Bank berkurangan 24 sen kepada RM17.26, Petronas Chemicals turun 12 sen kepada RM6.85 dan IHH Healthcare merosot satu sen kepada RM5.58.

Indeks FBM Emas susut 5.71 mata kepada 10,965.06, Indeks FBMT 100 berkurangan 10.42 mata kepada 10,820.16, manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 68.57 mata kepada 12,373.00, FBM 70 naik 67.05 mata kepada 13,507.02 dan FBM ACE menokok 26.4 mata kepada 5,948.3.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.25 mata kepada 140.5, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 149.49 mata kepada 13,734.21 manakala Indeks Perladangan naik 3.69 mata kepada 6,831.57.

– BERNAMA


Pengarang :