AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah, kaunter rugi atasi untung

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk dibuka rendah hari ini, berikutan aktiviti jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.36 mata kepada 1,498.27 daripada 1,502.63 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks dibuka rendah 8.19 mata kepada 1,494.44.

Suasana pasaran secara keseluruhannya negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 320 berbanding 133, manakala 310 kaunter tidak berubah, 1,199 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 550.06 juta saham bernilai RM226.73 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangka penurunan di Wall Street semalaman boleh menyebabkan saham di Bursa Malaysia meningkat, menggesa untuk berhati-hati dalam dagangan jika harga saham merosot di bawah paras sokongan masing-masing.

“Keputusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menurunkan kadar pertumbuhan global tidak memberi prospek yang baik kepada skala global berikutan jangkaan bahawa pemulihan ekonomi boleh tertangguh berbanding anggaran konsensus mengenai pemulihan pada separuh kedua tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pasaran saham AS mencatatkan satu lagi pusingan merosot berikutan Dow Jones Industrial Average Index susut 2.7 peratus, manakala Nasdaq mengakhiri kenaikan lapan hari berturut-turut dalam persekitaran kes Covid-19 yang meningkat, selain langkah IMF untuk mengurangkan kadar pertumbuhan global bagi 2020 dan 2021.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals, masing-masing merosot tiga sen kepada RM7.61 dan RM6.40, TNB susut empat sen kepada RM11.70, Public Bank merosot lapan sen kepada RM16.40 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.40.

Daripada saham paling aktif, AT Systematization berkurangan satu sen kepada lapan sen, NEXT tidak berubah pada satu sen, manakala Kanger International meningkat 1.5 sen kepada 10.5 sen dan Vivocom INTL naik setengah sen kepada tiga sen.

Indeks FBM Emas jatuh 37.96 mata kepada 10,534.56, Indeks FBMT 100 merosot 31.49 mata kepada 10,392.49, manakala FBM 70 susut 44.33 mata kepada 12,906.91.

Indeks FBM Emas Shariah turun 33.56 mata kepada 11,967.41, bagaimanapun FBM ACE naik 26.65 mata kepada 6,129.57.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.51 mata kepada 134.98, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 53.92 mata kepada 12,831.41, manakala Indeks Perladangan susut 3.0 mata kepada 6,772.41.

-BERNAMA


Pengarang :