AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah, seiring pasaran serantau

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini seiring dengan pasaran serantau yang lain meskipun prestasi di Wall Street diniagakan agak rancak pada Jumaat.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.35 mata kepada 1,539.67 daripada penutup 1,546.02 pada hari Jumaat.

Indeks dibuka 2.03 mata lebih tinggi pada 1,548.05.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 274 berbanding 182, sementara 268 kaunters tidak berubah, 1,185 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung urus niaga.

Jumlah dagangan pula ialah pada 485.77 juta unti bernilai RM214.42 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata FBM KLCI mungkin meningkat sedikit, mengambil petunjuk daripada pemulihan Wall Street ketika ditutup pada Jumaat lepas setelah keyakinan pelabur kembali pulih.

“Kami jangkakan pemulihan ini akan berpanjangan sehingga kepada permulaan minggu memandangkan para pelabur cepat mengenepikan aktiviti penjualan saham yang ketara dan memberi tumpuan kepada pembukaan semula ekonomi. Oleh yang demikian, trend di FBM KLCI pada amnya masih positif.

“Buat masa ini, kami juga merasakan sebarang pemulihan agak perlahan dengan paras sokongan tertinggi pada 1,600, paras rendah diunjurkan pada 1,530 diikuti dengan paras 1,510,” katanya dalam nota penyelidikan itu.

Sementara itu, saham wajaran tinggi IHH Healthcare melonjak tujuh sen kepada RM5.50, Petronas Chemicals dan Top Glove, masing-masing tidak berubah pada RM6.87 dan RM16.90, manakala Maybank dan Public Bank masing-masing susut enam sen kepada RM7.85 dan RM16.74 dan TNB lebih rendah empat sen kepada RM11.84.

Bagi saham aktif, Mintech Resources naik 2.5 sen kepada 30.5 sen, AT Systematization, K-One Technology dan VSolar, kesemuanya naik setengah sen kepada 15 sen, 52.5 sen dan 4.0 sen sementara Pegasus Heights dan Luster Industries, kedua-duanya tidak berubah pada 1.5 sen dan 13.5 sen.

Di papan indeks, indeks FBM Emas menyaksikan penurunan sebanyak 34.53 mata kepada 10,834.62, Indeks FBMT 100 susut 39.29 mata kepada 10,692.48 dan FBM 70 lebih rendah 29.48 mata kepada 13,332.67.

Indeks FBM Emas Shariah susut 22.05 mata kepada 12,295.14 dan FBM ACE menambah 11.64 mata kepada 5,840.31.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.45 mata kepada 139.13, Indeks Perladangan menokok 1.26 mata kepada 6,787.30 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 91.84 mata kepada 13,318.36.

-BERNAMA


Pengarang :