AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, seiring prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada hari ini, seiring dengan prestasi semalaman Wall Street.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 23.82 mata kepada 1,522.65 daripada 1,498.83 sewaktu ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 20.09 mata lebih tinggi kepada 1,518.92.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 532 berbanding 54 manakala 130 kaunter lain tidak berubah, 1,200 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 462.85 juta unit bernilai RM224.92 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata ketidaktentuan di kebanyakan ekuiti global kembali ketara dengan Bursa Malaysia juga tidak terkecuali semalam.

Namun, keadaan itu dilihat wajar pada masa ini bagi membolehkan para pelabur menikmati pulangan masing-masing sambil mengambil kesempatan untuk menilai keadaan ekonomi semasa.

“Berlatar belakang senario semasa, kami menjangkakan usaha pengukuhan mungkin berlaku dalam masa terdekat akibat ketiadaan petunjuk baharu,” kata Malacca Securities.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung 14 sen kepada RM7.84, TNB naik lapan sen kepada RM11.90, Public Bank menokok 24 sen kepada RM16.66, Petronas Chemicals meraih 12 sen kepada RM6.59, IHH Healthcare meningkat 13 sen pada RM5.55 dan Maxis naik tujuh sen kepada RM5.34.

Bagi saham paling aktif, AT Systematization naik satu sen kepada 14.5 sen, Minetech untung tiga sen kepada 31 sen, Barakah Offshore dan MTouche masing-masing meningkat satu sen kepada tiga sen dan 7.5 sen manakala Velesto menokok setengah sen kepada 15.5 sen dan KNM meningkat 1.5 sen kepada 21.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menambah 177.69 mata kepada 10,677.54, Indeks FBMT 100 meningkat 172.64 mata kepada 10,547.26 dan FBM 70 melonjak 244.65 mata kepada 13,041.05.

Indeks FBM Emas Shariah melonjak 185.21 mata kepada 12,081.76 manakala FBM ACE meningkat 179.07 mata kepada 5,729.98.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 2.23 mata kepada 134.87, Indeks Perladangan menokok 74.77 mata kepada 6,758.05 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 209.29 mata kepada 13,195.02.

-BERNAMA


Pengarang :