AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dijangka terus catat kenaikan

KUALA LUMPUR, 6 JUN: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka terus meningkat minggu depan berikutan prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik pada Jumaat dan pengumuman mengenai insentif Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) semalam.

Seorang penganalisis pasaran berkata FBM KLCI akan terus mencatatkan kenaikan yang ketara minggu depan; bagaimanapun, ia mungkin berdepan dengan aktiviti pengambilan untung selepas menyaksikan kenaikan selama lapan hari berturut-turut, setelah meningkat pada minggu lepas.

“Belian secara bergilir-gilir dijangka dalam kalangan peniaga, dan dijangka pertukaran antara saham sektor perbankan, penjagaan kesihatan, pengguna serta produk perindustrian dan perkhidmatan, automotif dan perladangan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Penganalisis Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong bersetuju bahawa indeks petunjuk pasaran dijangka meningkat pada minggu akan datang berikutan beberapa langkah di bawah PENJANA.

“Pada masa sama, pasaran dijangka turut disokong oleh prestasi yang kukuh dalam pasaran global berikutan data ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan, langkah rangsangan diumumkan di seluruh dunia dan harga minyak mentah lebih tinggi menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) hari ini untuk membincangkan mengenai lanjutan pengurangan pengeluaran,” katanya.

Mengenai pengecualian cukai jualan sebanyak 100 peratus ke atas penjualan kereta penumpang pemasangan tempatan dan 50 peratus kepada kereta penumpang import dari 15 Jun hingga 31 Dis 2020, Leong berkata saham dalam sektor automotif meningkat pada Jumaat berikutan langkah-langkah itu yang akan meningkatkan jualan automotif pada separuh kedua tahun ini.

Beliau juga berkata sektor hartanah akan dipacu oleh langkah di bawah PENJANA seperti pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman di bawah Kempen Pemilikan Rumah yang akan diperkenalkan semula serta pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah untuk pelupusan tiga unit rumah kediaman sahaja untuk setiap individu.

Mengenai kempen Beli Barangan Buatan Malaysia, katanya langkah tersebut akan memberi manfaat kepada saham berkaitan pengguna serta produk perindustrian dan perkhidmatan dalam masa terdekat.

Seorang penganalisis pasaran lain berkata pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai 2020 hingga 31 Dis 2020, akan memberi prospek yang baik kepada saham perladangan dan menasihatkan pelabur untuk membeli saham dalam syarikat seperti FGV Holdings.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid mengingatkan pelabur untuk berhati-hati dengan kenaikan yang dicatatkan oleh FBM KLCI pada minggu lepas (ditutup hampir pada paras tertinggi dalam tempoh empat bulan pada Rabu dan paras tertinggi dalam tempoh lima bulan pada Khamis).

“Dari aspek penilaian harga kepada pendapatan (PE), FBM KLCI dilihat berada pada aliran meningkat dengan nisbah PE sekitar 20 kali, yang lebih tinggi daripada penghindaran standard campur-satu sebanyak 17 kali,” katanya kepada Bernama, sambil menambah bacaan teknikal turut menunjukkan indeks utama dalam situasi terlebih beli.

“Oleh itu, kami menjangka pembetulan akan berlaku dalam masa terdekat,” katanya.

Ketua Strategi MIDF Research Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin berkata pasaran ekuiti, mungkin telah mencecah paras rendahnya.

“Ternyata, sejajar dengan penurunan secara am pasaran ekuiti dunia, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah meningkat semula dengan lebih 230 mata,” katanya.

Syed Muhammed Kifni berkata kenaikan harga disokong oleh langkah melandaikan keluk kes Covid-19 di peringkat tempatan dan antarabangsa (jumlah kes aktif di Malaysia berada pada trend penurunan) dan suntikan mudah tunai yang tinggi sama ada secara langsung atau melalui pengurangan kadar faedah dan pelbagai rangsangan fiskal di peringkat antarabangsa dan domestik.

“Kadangkala, dakwaan kemajuan yang dibuat mengenai pembangunan vaksin Covid-19 turut membantu menggalakkan pasaran ekuiti dunia,” kata Syed Muhammed Kifni dalam nota.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, indeks meningkat 83.08 mata untuk ditutup kepada 1,556.33.

Indeks FBM Emas naik 466.93 mata kepada 10,930.78, Indeks FBMT 100 melonjak 479.03 mata kepada 10,792.24 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 281.88 mata kepada 12,307.1.

FBM 70 meningkat 196.64 mata kepada 13,391.84 dan Indeks FBM ACE naik 232.72 mata kepada 5,852.53.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 8.99 mata kepada 139.05, Indeks Perladangan meningkat 1.85 mata kepada 6,787.02, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 1,243.28 mata kepada 13,726.02.

Bagi minggu baru berakhir, jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 46.04 bilion unit bernilai RM32.19 bilion daripada 23.18 bilion unit bernilai RM19.53 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 26.91 bilion saham bernilai RM16.95 bilion daripada 13.58 bilion saham bernilai RM16.95 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 3.22 bilion unit bernilai RM885.64 juta daripada 1.71 bilion unit bernilai RM521.91 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 15.89 bilion saham bernilai RM5.66 bilion daripada 7.88 bilion saham bernilai RM2.06 bilion sebelum ini.

Pasaran akan ditutup pada Isnin bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

-BERNAMA


Pengarang :