AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia ditutup rendah, jualan besar-besaran

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini susulan aktiviti penjualan secara besar-besaran dan unjuran pertumbuhan ekonomi yang rendah.

Urus niaga lembap ini juga adalah seiring dengan prestasi di kebanyakan pasaran serantau berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Bank Pembangunan Asia (ADB) berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia diunjurkan menguncup 4.0 peratus tahun ini dan berkembang 6.5 peratus pada tahun 2021.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 21.41 mata atau 1.40 peratus untuk mengakhiri urus niaga pada 1,504.91 daripada 1,526.32 ketika ditutup Rabu.

Indeks utama dibuka 1.81 mata lebih rendah pada 1,524.51 dan bergerak antara 1,503.35 dan 1,525.69 sepanjang sesi urus niaga.

Keseluruhan suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi saham untung 685 berbalas 300, sementara 381 kaunter tidak berubah, 578 tidak diniagakan dan 38 lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 5.12 bilion saham bernilai RM3.87 bilion daripada 7.55 bilion saham bernilai RM3.82 bilion pada Khamis.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata FBM KLCI bergerak agak sukar untuk hampir sepanjang hari urus niaga dengan bursa serantau yang lain turut bergelut dengan kebimbangan kemunculan semula gelombang Covid-19, ketegangan di antara Korea Selatan dan Korea Utara, harga minyak yang masih goyah serta suasana politik domestik yang tidak menentu.

Minyak mentah Brent naik 1.11 peratus kepada US$41.16 setong.

Sementara itu, di pasaran serantau, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.04 peratus kepada 2,670.59, Indeks Hang Seng Hong Kong lega 0.07 peratus kepada 24,464.94 dan Nikkei 225 Jepun susut 0.45 peratus kepada 22,355.46.

Saham berwajaran tinggi pula menyaksikan IHH Healthcare menokok satu sen kepada RM5.40, Maybank turun enam sen kepada RM7.71, TNB merosot lapan sen kepada RM11.80, Public Bank rugi 16 sen kepada RM16.80, Petronas Chemicals dan Maxis, masing-masing jatuh 12 sen kepada RM6.38 dan RM5.33 sementara Top Glove lebih rendah RM1 kepada RM14.70.

Bagi saham paling cergas, Minetech Resources dan KNM menambah setengah sen kepada 31 sen, ConnectCounty menokok 4.5 sen kepada 34.5 sen, Datasonic melonjak 12 sen kepada RM1.52, MY E.G lebih tinggi tiga sen kepada RM1.53, MQ Technology tidak berubah pada empat sen dan MTouche lega setengah sen kepada 7.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 142.5 mata kepada 10,581.87, Indeks FBMT 100 melorot 144.18 mata kepada 10,436.53 dan FBM 70 pula lebih lemah 161.33 mata kepada 12,954.02.

Indeks FBM Emas Shariah turun 184.12 mata kepada 11,929.62 dan FBM ACE merosot 74.73 mata kepada 5,905.4.

Mengikut sektor, Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kerugian 1.41 mata kepada 134.72, Indeks Perladangan turun 61.64 mata kepada 6,713.4 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 143.68 mata kepada 13,074.77.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menguncup kepada 3.0 bilion saham bernilai RM3.39 bilion daripada 3.91 bilion saham bernilai RM3.08 bilion pada hari sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 558.84 juta unit bernilai RM131.08 juta daripada 502.69 juta unit bernilai RM100.47 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 1.56 bilion saham bernilai RM351.02 juta daripada 3.13 bilion saham bernilai RM641.86 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 524.52 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (574.55 juta), pembinaan (212.34 juta), teknologi (482.37 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (41.45 juta), hartanah (146.40 juta), perladangan (59.23 juta), REIT (13.92 juta), dana tertutup (550,600), tenaga (544.85 bilion), penjagaan kesihatan (120.79 juta), telekomunikasi dan media (88.47 juta), pengangkutan dan logistik (182.13 juta) dan utiliti (13.48 juta).

-BERNAMA


Pengarang :