AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia terus momentum dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkatnya pada minggu lepas dengan dibuka tinggi pada pagi ini di tengah-tengah prospek ekonomi yang lebih baik daripada biasa meskipun ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang masih berterusan.

Pada 9.14 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.73 mata kepada 1,474.98 daripada paras penutup 1,473.25 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks itu dibuka kukuh naik 1.61 mata kepada 1,474.86.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 324 berbanding 244, manakala 287 kaunter tidak berubah, 1,013 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 933.72 juta unit bernilai RM579.46 juta.

Bursa utama Asia lain mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila ketegangan antara AS-China nampaknya tidak begitu menjejaskan perdagangan dan kewangan seperti yang dibimbangi sebelum ini, kata seorang peniaga.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan pemulihan indeks global susulan perkembangan ketegangan AS-China itu akan membantu FBM KLCI dapat mengekalkan pemulihannya dan berada dalam aliran menaik.

“Ini akan menyaksikan saham berkaitan indeks meningkat sekali lagi, walaupun kami merasakan kenaikan mungkin terhad pada paras ketahanan 1,495 dan 1,510.

“Sebarang penurunan dijangkakan sederhana dengan paras sokongan dilihat berada pada 1,430,” kata Malacca Securities.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Tenaga naik 26 sen kepada RM11.52 manakala Maybank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM7.50 dan RM5.43.

Public Bank susut 14 sen kepada RM14.52 dan Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM6.26.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 4.62 mata kepada 10,468.47, Indeks FBMT 100 meningkat 2.56 mata kepada 10,315.77, Indeks FBM Emas Shariah menambah 53.31 mata kepada 12,078.53 dan FBM ACE melonjak 101.66 mata kepada 5,721.47.

Bagaimanapun, FBM 70, susut 35.32 mata kepada 13,159.88,

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.1 mata kepada 129.96, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 36.17 mata kepada 12,446.57 dan Indeks Perladangan jatuh 68.88 mata kepada 6,716.29.

– BERNAMA


Pengarang :