Selangorkini
Seorang wanita memakai pelitup muka sebagai perlindungan diri dari penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan di sebuah gedung tekstil di Kuala Lumpur pada 1 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cabaran baharu Covid-19 tuntut kerjasama semua pihak

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Hari ini, masuk hari ke-30 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan tinggal seminggu lagi sebelum ia dijadual berakhir pada 9 Jun ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKPB bermula 4 hingga 12 Mei bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka secara terkawal dan berhati-hati. Ia kemudian dilanjutkan sehingga 9 Jun.

Sama ada PKPB akan dilanjutkan lagi atau tidak masih menjadi tanda tanya, namun strategi kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 dilihat telah banyak membuahkan kejayaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan kes harian jangkitan tempatan menunjukkan trend penurunan sejajar dengan unjuran kementerian itu.

Ia menggambarkan impak positif tindakan yang telah diambil kerajaan serta pematuhan rakyat Malaysia terhadap tatacara operasi piawai (SOP) dan saranan yang diberikan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, menurut Dr Noor Hisham, Malaysia kini berdepan dengan cabaran baharu iaitu peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan bukan warganegara yang menuntut usaha semua pihak untuk menanganinya.

Peningkatan kes itu dapat dilihat secara ketara mulai 29 April lepas disebabkan oleh kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, penularan kes dalam kalangan bukan warganegara di beberapa depot tahanan Imigresen dan juga dalam kalangan pekerja bukan warganegara pelbagai sektor dalam komuniti.

“Golongan bukan warganegara tidak harus disisih dan tidak harus distigmakan oleh rakyat Malaysia. Malahan, kita perlu membantu mereka untuk mengurangkan penularan Covid-19 di negara kita,” tegasnya.

Dalam pada itu, kerajaan sudah pastinya akan mengambil kira pelbagai sudut sebelum menamatkan PKPB dan sehingga itu rakyat perlu terus berwaspada supaya tidak dijangkiti virus berbahaya itu.

Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 7,857 kes positif Covid-19 dengan 115 kes kematian.

Menurut portal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih enam juta kes positif Covid-19 dengan lebih 370,000 kematian dilaporkan di seluruh dunia, setakat 1 Jun.

-BERNAMA


Pengarang :