Gunaraj bersama OKU yang menderma darah lebih dari 40 kali. Foto Dr Gunaraj George
ADNSELANGOR

Cacat bukan penghalang, lelaki OKU derma darah 42 kali

SHAH ALAM, 8 JUN: Seorang lelaki kelainan upaya dengan kecacatan pada kaki antara individu hadir dalam program Kempen Derma Darah di Klang semalam, kata Ahli Dewan Negeri Sentosa.

Dr Gunaraj George mendedahkan lelaki berusia 50 tahun berkenaan mempunyai rekod menderma darah sebanyak 42 kali walaupun dalam keadaan berkerusi roda kerana tidak boleh berjalan.

“Beliau membuktikan status orang kelainan upaya (OKU) bukan penghalang dan kecacatan itu bukanlah dari tubuh badan, kecacatan yang sebenar adalah datang dari pemikiran masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Kempen derma darah anjuran Soka Gakkai, Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN), Kawasan Rukun Tetangga Golden Villa dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa itu diadakan secara serentak di Soka Gakkai Klang Jaya dan Econsave Kampung Jawa.

Program yang turut dibantu Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang itu berjaya mengumpul sebanyak 309 beg darah.

Pada masa sama, Dr Gunaraj berkata beliau bangga kerana ramai orang hadir dalam program derma darah itu walaupun bimbang dengan penularan Covid-19.

“Semoga program sebegini dapat membantu lebih ramai pihak serta memastikan bekalan darah cukup serta selamat untuk pesakit tidak kira waktu,” katanya.


Pengarang :