Tiub ujian dengan label nama virus Corona dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 29 Januari 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Covid-19: 347 kes baharu di Singapura, kematian ke-26

SINGAPURA, 14 JUN: Singapura yang merekodkan 347 kes baharu Covid-19 semalam, mencatatkan satu lagi kes kematian menjadikan jumlah korban keseluruhan kepada 26.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata kematian itu melibatkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 73 tahun yang meninggal dunia di Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit pada 12 Jun.

Dikenali sebagai Kes 161, mangsa disahkan dijangkiti Covid-19 pada 9 Mac.

Menurut kementerian itu, mangsa memiliki sejarah penyakit darah tinggi dan buah pinggang yang kronik selain menghidapi “hyperlipidemia”.

Singapura melaporkan dua kematian pertama Covid-19 pada 21 Mac.

Setakat 12 tengah hari, 768 lagi kes Covid-19 didiscaj daripada hospital atau kemudahan isolasi komuniti, menjadikan 28,808 atau 72 peratus daripada 40,197 jumlah keseluruhan kes sudah pulih sepenuhnya.

Terdapat 228 kes yang disahkan pada masa ini dan masih berada di hospital dengan seorang pesakit dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Kementerian itu berkata 11,135 yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal tetapi disahkan positif Covid-19, diasingkan dan dijaga di fasiliti komuniti.

– BERNAMA


Pengarang :